Keadaan semasa di sekitar lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Batang Kali pada 17 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor negeri pertama kuat kuasa garis panduan, lesen aktiviti perkhemahan

SUBANG JAYA, 31 JAN: Selangor menjadi negeri pertama menguatkuasakan garis panduan dan lesen bagi aktiviti perkhemahan di bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Industri.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pendaftaran tapak perkhemahan akan diwajibkan selepas ia dibentangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan datang.

“Hasil daripada perbincangan dalam bengkel penyediaan garis panduan pemutihan tapak perkhemahan ini, kita akan bentang pada mesyuarat MMKN dalam tempoh dua bulan.

“Selepas dijadikan dasar, ia perlu dipatuhi oleh semua agensi dan pengusaha tapak perkhemahan.

“Tindakan undang-undang akan diambil jika ada tapak perkhemahan yang tidak berdaftar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sze Han turut mengumumkan semua pengusaha tapak perkhemahan di Selangor perlu berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula Februari ini.

Beliau menjelaskan pemberian Lesen Perniagaan Sementara dan Permit Bangunan Sementara kepada pemilik tapak perkhemahan akan diproses bermula April hadapan.

“Syarat minimum yang wajib bagi permohonan lesen dan permit tersebut adalah keperluan pelan ukur tanah oleh juru ukur tanah bertauliah.

“Di Selangor, kita ada lebih 200 tapak perkhemahan, dan kemungkinan bukan semua tapak akan memperolehi lesen kebenaran kerana ia tertakluk kepada kesesuaian lokasi perkhemahan,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari berkata garis panduan berhubung ketetapan dan peraturan aktiviti perkhemahan akan dikuat kuasa sebagai langkah menjamin keselamatan nyawa.

Ia susulan kejadian tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada Disember lepas yang mengorbankan 31 nyawa.


Pengarang :