Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 5 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor pertimbang guna aplikasi SELangkah kekang perebakan Covid-19

PETALING JAYA, 5 JAN: Selangor mempertimbang mewajibkan penggunaan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebagai langkah tambahan mengekang perebakan Covid-19 di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu memudahkan penjejakan kontak rapat individu positif wabak susulan penularan varian baharu dari China.

“Apabila kerajaan persekutuan sudah menetapkan beberapa kriteria (mengekang penularan), negeri akan lihat bagaimana nak pantau atau apakah langkah tambahan. Sebagai contoh kawalan atau diwajibkan buat penjejakan kontak melalui SELangkah.

“Pihak EXCO (Kesihatan) sedang mencadangkan langkah susulan sebab kalau berlaku perebakan, kita dapat menjejaki di mana tempat potensi (jangkitan) itu berlaku,” katanya pada sidang media Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor di Kelab Golf Seri Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan penularan varian BA.5.2 dan BF.7 di negara ini terkawal berdasarkan pendedahan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Sejak November, Disember telah berlaku (penularan varian baharu tetapi) kawalan sangat baik.

“Apa yang patut dibuat sekarang meningkatkan pengambilan dos penggalak secara berganda kepada rakyat sebab vaksin terbukti mampu memberi sedikit kawalan terhadap Covid-19,” katanya.

Penjawat awam mengimbas kod QR menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) ketika berada di Bangunan SUK Shah Alam pada 14 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Sebelum ini, media melaporkan China akan membuka semula sempadannya 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik.

Bagaimanapun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes Covid-19 di negara itu baru-baru ini.


Pengarang :