Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian MBSJ Vibrant Community Awards 2022 dan Pelancaran Geran Komuniti Subang Jaya Smart Vibrant 2023 di Bandar Sunway, Subang Jaya pada 15 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sasar gabungan empat bandar raya jadi bandar metropolitan seawal 2029

SUBANG JAYA, 16 JAN: Selangor rancang menjadi bandar metropolitan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam ke tujuh tahun akan datang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perancangan itu boleh dicapai dengan gabungan empat bandar raya besar iaitu Subang Jaya, Petaling Jaya, Shah Alam dan akan datang Klang.

“Insya-Allah dalam tempoh satu ke dua tahun akan datang Majlis Perbandaran Klang (MPK) boleh menjadi bandar raya dan daripada situ kita ada empat ‘connected cities’ (bandar terhubung) dalam satu negeri.

“Saya harap kita boleh mengaturkan persamaan daripada segi pentadbiran dan melaksanakan pengurusan yang bermanfaat serta beri kebaikan pada semua.

“Untuk menjadi metropolis ada syarat-syarat seperti jumlah kepadatan penduduk dan keperluan tertentu tetapi dari segi imaginasi pada masa akan datang kita boleh perbaiki (untuk jadi metropolitan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pelancaran program Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Vibrant Community Awards 2022 dan Pelancaran Geran Komuniti Subang Jaya Smart Vibrant di Sunway Resort di sini malam tadi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) menerima buku garis panduan Geran Komuniti Subang Jaya Smart Vibrant 2023 daripada Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Johary Anuar (tengah) sambil disaksikan Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Zulkurnain Che Ali (kanan) pada Majlis Perasmian MBSJ Vibrant Community Awards 2022 dan Pelancaran Geran Komuniti Subang Jaya Smart Vibrant 2023 di Bandar Sunway, Subang Jaya pada 15 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN

Bagaimanapun, Amirudin menjelaskan Klang mempunyai cabaran tertentu yang perlu dibuktikan untuk diangkat status bandar raya kerana lebih kurang 30 peratus daerah itu masih kategori kampung.

“Bukan bermakna kampung tidak boleh menjadi bandar raya kerana Subang Jaya pun ada Kampung Tengah, Kampung Bukit Lanchong dan Kampung Sri Aman tetapi saiz pembangunannya terancang.

“Namun di Klang kita anggap masih ada kampung yang kita boleh kira sebagai kampung tradisional. Jadi, kita harap Klang dapat memperbaikinya bukan sekadar menukar kampung menjadi pekan atau bandar tetapi menambah baik kemudahan dan perkhidmatan,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut mengalu-alukan Kuala Lumpur untuk bergabung dengan Selangor menjadi bandar metropolitan pada masa akan datang.

“Kita ada bandar raya lebih besar daripada Kuala Lumpur dan sekiranya Kuala Lumpur mahu bergabung dengan kita itu satu perkara yang bagus, kita boleh jadi Lembah Klang terbesar,” katanya.


Pengarang :