Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bercakap kepada media selepas melepaskan konvoi Misi Prihatin Mangsa Banjir ke Terengganu dan Kelantan di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 8 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMA

Selangor tak iktiraf perkahwinan luar negara jika tidak berdaftar dengan Jais

SHAH ALAM, 8 JAN: Selangor tidak mengiktiraf mana-mana perkahwinan di luar negara yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata biarpun perkahwinan itu sah daripada segi agama, tetapi bagi peraturan dan undang-undang negara termasuk di Selangor, ia tidak boleh diiktiraf jika gagal berdaftar dengan Jais.

“Perkahwinan di luar negara jika tidak berdaftar memberi kesan pada masa akan datang sekiranya ada urusan seperti perkahwinan anak atau pembahagian harta pusaka.

“Ruang untuk bernikah di Malaysia terbuka luas, tiada masalah. Malah, kita juga mengadakan kursus perkahwinan yang tidak dilakukan oleh mana-mana negara, paling kurang pun mereka bertanya soalan rukun nikah atau tiada apa-apa,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan sumbangan banjir RM200,000 kepada Kelantan dan Terengganu serta pelepasan konvoi di Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menunjukkan barangan yang disumbangkan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu pada majlis pelepasan konvoi Misi Prihatin Mangsa Banjir di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 8 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menerusi konvoi tersebut, enam lori membawa barangan keperluan asas itu disertai oleh 40 kakitangan Mais serta beberapa anak syarikat.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin berkahwin supaya mengikut peraturan ditetapkan oleh majlis agama Islam negeri masing-masing.

“Pendaftar nikah disediakan secukupnya di setiap daerah, saya hairan perkahwinan yang berlangsung di luar negara mungkin mereka menghadapi masalah peribadi atau lain,” katanya.


Pengarang :