EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (tengah) melakukan gimik perasmian di Majlis Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2022 di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 19 Januari 2023. Foto.MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIEXCOSELANGOR

Selangor wujud program kaunseling untuk bantu usahawan berjaya, kekal dalam perniagaan

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 17 JAN: Kerajaan Negeri akan mewujudkan program kaunseling keusahawanan selewat-lewatnya Mac ini bagi membantu usahawan di Selangor kekalkan perniagaan.

EXCO pembangunan usahawan berkata inisiatif itu wajar memandangkan aspek terbabit kurang diberi perhatian kepada golongan usahawan.

Rodziah Ismail berkata golongan terbabit memerlukan input dan bimbingan luar kelas bagi memastikan perniagaan mereka kekal dan berdaya tahan.

“Kita akan jalin kerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk laksanakan program yang mana agensi terbabit akan pantau dari segi aliran kewangan syarikat dikendalikan usahawan.

“Program ini bertujuan beri kaunseling untuk bantu usahawan kenal pasti sama ada perusahaan mereka berdaya tahan kerana ada yang tidak tahu mengapa perniagaan mereka tidak berjaya dan kekal lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Konvensyen PROTUNe ke-24 di Dewan Aster, bangunan ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, hari ini.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (tengah) bergambar bersama selepas menyampaikan anugerah syarikat terbaik 2022 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading di Majlis Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2022 di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 19 Januari 2023. Foto.MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Rodziah berkata pihaknya menyasarkan 2,000 penyertaan usahawan untuk program terbabit tahun ini.

Beliau berkata pihaknya yakin mampu mencapai sasaran peserta memandangkan program serupa yang dianjurkan dengan kerjasama PKNS disertai 1,000 peserta tahun lalu.

“Program kaunseling keusahawanan ini terbuka untuk semua sama ada yang baru berjinak-jinak atau sudah lama berkecimpung dalam bidang perniagaan.

“Gabungan kerjasama dengan pelbagai agensi tahun ini kita yakin mampu tarik 2,000 penyertaan untuk program kaunseling keusahawanan,” katanya.


Pengarang :