Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika sesi sidang media Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 5 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Selangor wujud tabung khas, anjur kejohanan sukan

PETALING JAYA, 6 JAN: Selangor mewujudkan tabung khas sejak tahun lepas sebagai persediaan penganjuran kejohanan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tabung berkenaan meraih kutipan jutaan ringgit setakat ini hasil sumbangan negeri, persekutuan dan pihak swasta.

“Sebelum ini sekitar 2016 dan 2017, kita telah menjadi hos kepada Kejohanan Pingpong Berkumpulan selain Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Setia Alam tahun lalu.

“Malah semasa saya menjadi EXCO sukan pada 2016, kita juga pernah membantu Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia tetapi ketika itu kita tiada tabung (dan) sekarang kita sudah ada (tabung).

“Tabung itu kita boleh sediakan peruntukan untuk penganjuran kejohanan sukan pada masa akan datang. Kita bersedia kerana kita juga mempunyai fasiliti yang boleh membantu (penganjuran kejohanan sukan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor di sini, semalam.

Seramai 105 pemain remaja berusia 12 hingga 18 tahun berentap dalam kejohanan yang membuka tirai semalam hingga 8 Januari.

Kejohanan anjuran UUM International School Melaka (UUMISM) dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) membabitkan pemain dari Malaysia, Korea Selatan, Singapura, Filipina dan Indonesia bagi kategori berkumpulan.

Manakala kategori individu disertai pemain dari India, Kanada, Hong Kong, China, Jepun termasuk Malaysia.


Pengarang :