Jurulatih bola tampar Saiful Hadee Amar, 44, (tengah) bersalaman dengan salah seorang bapa pelajar yang terlibat dalam kontroversi tindakannya menampar pemain seperti tular di laman sosial dalam satu perjumpaan di Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka di Krubong pada 4 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Siasatan kes tampar pelajar selesai, tunggu keputusan Unit Tatatertib dan Integriti KPM

NIBONG TEBAL, 8 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) selesai menjalankan siasatan berhubung kejadian jurulatih bola tampar yang menampar dua pemain pelajar perempuannya baru-baru ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata laporan siasatan telah dihantar kepada Unit Tatatertib dan Integriti KPM untuk tindakan selanjutnya.

“Ingin saya tekankan di sini, dari awal sudah kita nyatakan dalam kes ini, proses sangat penting. Kita ada ruang keadilan untuk semua pihak malah guru tersebut (jurulatih) juga boleh buat representasi. KPM tidak berkompromi soal keganasan,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan tinjauan di gelanggang bola keranjang Bukit Panchor, di sini iaitu lokasi Pasar Percuma 2023 Parlimen Nibong Tebal.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal mengulas mengenai seorang jurulatih pasukan bola tampar wanita Melaka bawah 14 tahun (B-14) yang menampar dua pemainnya dalam satu kejohanan berlangsung di Johor pada 14 hingga 16 September 2022.

Sebelum ini, tular video yang memaparkan jurulatih itu bertindak menampar dua pemain ketika membimbing pasukan Melaka dalam Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun.

Susulan insiden di Johor itu, jurulatih bola tampar tersebut, Saiful Hadee Amar, 44, memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya dan sedia berdepan tindakan yang bakal diterima.

– BERNAMA


Pengarang :