Suasana sekitar Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) edisi pertama di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 4 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sidang halal negeri berlangsung Mac, sasar padanan niaga RM50 juta

SHAH ALAM, 17 JAN: Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) edisi kedua dijadual berlangsung mulai 10 hingga 12 Mac, dengan sasaran padanan perniagaan berjumlah RM50 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu menumpukan enam komponen iaitu forum perniagaan, kewangan Islam, pameran, padanan perniagaan, rantaian bekalan halal dan pemasaran digital.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan acara yang bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) turut menyasarkan kehadiran lebih 8,000 pengunjung.

“Pameran ini meliputi kluster makanan dan minuman, farmasi dan penjagaan kesihatan, busan sopan, bahan mentah dan ramuan halal, kecantikan serta pelancongan dan hospitaliti.

Orang ramai mengunjungi Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) edisi pertama di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 6 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Bagi pemain industri, program ini memberi ruang meneroka peluang perniagaan selain dapat berkolaborasi antara satu sama lain,” katanya pada sidang media pelancaran Selhac 2023 hari ini.

Amirudin turut menggalakkan usahawan kecil dan sederhana bawah agensi negeri untuk menyertai program berkenaan sebagai salah satu usaha memperluas pemasaran produk mereka.

Beliau berkata usahawan yang dikesan berpotensi besar antaranya meliputi peserta Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Platform Selangor (PLATS).

“Kita beri peluang untuk mereka teroka kerana sebelum ini mungkin tiada kesempatan. Jadi mereka boleh perkenalkan produk masing-masing,” katanya lagi.

Selhac pertama kali dianjurkan Mac tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan penyertaan lebih 200 pempamer dan merekodkan transaksi sebanyak RM37.73 juta.

 


Pengarang :