Skuad Remaja Lelaki Negara merekodkan lima kemenangan dan seri pada aksi terakhir di Stadium Hoki Universiti Curtin pada 23 Januari 2023. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
AGENDASUKANKINI

Skuad hoki remaja menang lima aksi persahabatan di Perth

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan menamatkan siri jelajah selama dua minggu di Perth, Australia dengan rekod memberangsangkan, apabila memenangi lima daripada keseluruhan enam perlawanan persahabatan.

Pada aksi terakhir di Stadium Hoki Universiti Curtin hari ini, skuad remaja negara bimbingan Ketua Jurulatih Muhamad Amin Rahim, terlepas peluang membawa pulang rekod bersih selepas terikat 2-2 ketika berhadapan Western Australian Institute of Sport (WAIS) Bawah 21 Tahun (B-21).

Keputusan itu menyaksikan WAIS akhirnya berjaya mengikat anak buah Muhamad Amin pada percubaan keenam, selepas pasukan negara menang dalam lima perlawanan sebelum itu.

Skuad projek khas itu dijadual pulang ke Malaysia esok, bagi membuat persediaan bagi menghadapi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 yang akan membuka tirai pada 9 Februari ini.

Mereka juga bakal menyertai beberapa kejohanan antarabangsa tahun ini seperti Piala Asia Remaja yang tarikh dan venue masih belum dimuktamadkan, Sukan SEA Kemboja pada Mei, Piala Sultan Johor yang dijadual pada Oktober dan Piala Dunia Remaja, yang dijadual berlangsung di sini pada Disember. – BERNAMA


Pengarang :