Natasha Roslan (dua, kiri) dan Muhammad Rafiq Ismail memenangi pingat perak dan Ahmad Muaz Fishol (kanan) meraih gangsa bagi acara perseorangan pada Kejohanan Boling Tenpin Asia (ATBC) ke-26 yang berlangsung di Pusat Boling Persatuan Olahraga China Selatan di Hong Kong pada 10 Januari 2023. Foto Facebook Bowling Malaysia
AGENDASUKANKINI

Skuad negara tambah koleksi pingat perak Kejohanan Boling Tenpin Asia di Hong Kong

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Skuad boling negara hari ini berjaya menambah satu lagi koleksi pingat perak pada Kejohanan Boling Tenpin Asia (ATBC) ke-26 yang berlangsung di Pusat Boling Persatuan Olahraga China Selatan di Hong Kong.

Pingat berkenaan diperoleh melalui acara berpasangan lelaki (doubles) gandingan Syazirol Shamsudin dan Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam yang melakukan 2,967 jatuhan pin, namun gagal menyaingi kehebatan pasangan Singapura Timothy Tham dan Muhammad Jaris Goh yang muncul juara selepas melakukan 2,991 jatuhan pin.

Tempat ketiga bagi acara itu pula dimenangi gandingan Korea Selatan Park Donghyuk dan Park Geonha yang melakukan 2,918 jatuhan pin.

Semalam, Malaysia memulakan kempen pada kejohanan itu dengan langkah kanan selepas memenangi dua perak menerusi Muhammad Rafiq Ismail serta Natasha Roslan dan satu gangsa oleh Ahmad Muaz Fishol bagi acara perseorangan.

Malaysia akan turun mempertahankan emas bagi acara trio lelaki dan wanita yang dimenangi pada ATBC edisi 2019 di Kuwait, esok.

Pada edisi di Kuwait itu, Malaysia muncul juara keseluruhan selepas memenangi enam pingat emas, satu perak dan empat gangsa. – BERNAMA


Pengarang :