Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading teruja selepas diumumkan pemenang anugerah Syarikat Terbaik 2022 pada Majlis Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2022 di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 19 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

SMK Bukit Gading rangkul enam anugerah program usahawan muda PKNS

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 19 JAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gading, Sungai Buloh merangkul enam anugerah menerusi Program Tunas Niaga (PROTUNe) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Anugerah dimenangi ialah Syarikat Terbaik, Laporan Kewangan Terbaik, Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Guru Pembimbing Terbaik, Persembahan Terbaik dan Sekolah Terbaik.

Pengetuanya Nor Mariha Bahauddin berterima kasih kepada PKNS selaku penganjur, guru pembimbing dan ahli PROTUNe yang komited menjayakan program itu.

“Alhamdulillah saya bersyukur dan kerana SMK Bukit Gading bukan sahaja berjaya merangkul johan syarikat terbaik PROTUNe malah turut menjuarai lima kategori lain.

“Ini kali pertama kita menang enam daripada 10 kategori yang dipertandingkan. Ini adalah hadiah untuk komitmen guru dan pelajar yang tidak kenal erti penat berkorban masa antara tugasan hakiki dan pelajaran selain menguruskan PROTUNe,” katanya pada Majlis Konvensyen PROTUNe ke-24 hari ini.

Menurut Nor Mariha, program berkenaan penting kerana mampu mengubah persepsi pelajar supaya berkecimpung dalam perniagaan memandangkan majoriti pelajarnya golongan kurang berkemampuan (B40) dan kurang cemerlang dalam akademik.

“Menerusi PROTUNe kita cuba terapkan kesedaran pelajar kurang cemerlang dalam bidang akademik juga boleh berjaya.

“Mereka boleh jadi usahawan dan kita terapkan pengurusan perniagaan yang betul dari peringkat awal supaya mereka ada ilmu dan kemahiran untuk uruskan perniagaan pada masa depan,” katanya.


Pengarang :