AGENDANASIONALSELANGOR

SSDU: Caj tambang bas bukan tindas warga asing di PJ

SHAH ALAM, 15 JAN: SSDU Innovations Sdn Bhd (SSDU) menafikan caj tambang perkhidmatan PJ City Bus dikenakan kepada warga asing di Petaling Jaya adalah satu diskriminasi atau penindasan ke atas golongan berkenaan.

SSDU memaklumkan inisiatif perkhidmatan Bas Smart Selangor bertujuan memberi kemudahan pengangkutan awam yang selesa dan percuma dengan keutamaan untuk penduduk tempatan di Selangor.

“Langkah mengenakan caj kepada warga asing ini sebenarnya adalah satu kaedah biasa sesebuah kerajaan bagi membezakan keistimewaan antara warganegara dan golongan itu yang menggunakan perkhidmatan disediakan.

“Persamaan ini boleh dilihat sama seperti perkhidmatan hospital atau klinik kesihatan di mana caj juga dikenakan agak berbeza kepada warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SSDU berkata demikian merujuk artikel yang tular di media sosial bertajuk “NGO desak Selangor Batal Hasrat Kenakan Tambang Bas PJ Pada Warga Asing” pada 13 Januari lalu.

Menurutnya, caj tambang bas serendah RM0.90 kepada warga asing diperkenalkan sejak Mac 2021 bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) lain selain Petaling Jaya dan ia menampung sebahagian kos untuk menyediakan kemudahan terbaik serta kos penyelenggaraan bagi mengekalkan perkhidmatan bas untuk tempoh lebih panjang.

“Perkhidmatan bas Smart Selangor secara percuma kepada warganegara ini sepatutnya dilihat sebagai satu inisiatif ‘eksklusif’ di bawah kerajaan Negeri Selangor untuk rakyat menikmati limpahan kemudahan awam.

“Malah pelaksanaan caj kepada warga asing disokong pengguna tempatan sejak 2021 kerana kadar caj dikenakan amat rendah jika dibandingkan dengan kelengkapan bas yang mempunyai penghawa dingin, selesa, dan bersih,” katanya.

Sebelum ini, terdapat aduan mengenai Bas Smart Selangor dimonopoli warga asing dan perkara ini menimbulkan perdebatan dalam masyarakat mengenai isu keselamatan serta hak mereka sebagai pembayar cukai.

Menurut Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hampir 15 peratus pengguna PJ City Bus adalah warga asing dan jumlah itu mungkin lebih kerana tidak termasuk data pengguna menggunakan Scan To Ride apabila menaiki Bas Smart Selangor.

Oleh itu, sejajar dengan pelaksanaan caj RM0.90 bermula hari ini, SSDU komited untuk membantu MBPJ dan PBT lain melakukan lebih banyak hebahan mengenai kepentingan perhidmatan bas percuma serta caj dikenakan kepada warga asing.


Pengarang :