Gambar hiasan perbicaraan mahkamah
AGENDANASIONAL

Suami isteri didakwa bunuh pekerja restoran guna bom buatan sendiri

SHAH ALAM, 16 JAN: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas tuduhan membunuh pekerja restoran menggunakan bom buatan sendiri di Pandan Indah, bulan lalu.

Khor Swee Boon, 33, dan isteri, Ng Hui Yee, 30, mengangguk ketika pertuduhan dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Berita Harian.

Peguam bela pasangan terbabit RSN Rayer kemudian memohon budi bicara membenarkan Hui Yee diberi jaminan berikutan tertuduh perlu menjaga dua anak berusia lima dan tujuh tahun.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu berikutan tiada keadaan khas untuk membenarkan tertuduh dijamin dan menetapkan sebutan kes seterusnya pada 23 Mac untuk serahan dokumen.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu membunuh seorang lelaki Cho Lim Fong, 29, di hadapan sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 1/22, Pandan Indah pada jam 8.55 malam, 29 Disember lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 35 KK yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.


Pengarang :