Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Suami isteri ditahan kes curi barang dalam kenderaan

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Polis menahan suami isteri di Taman Tasek Tambahan, Ampang petang semalam disyaki terlibat dengan tujuh kes curi barang dalam kenderaan sekitar Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 40 tahun dan isterinya yang berumur 45 tahun itu ditahan di rumah mereka kira-kira jam 3 petang susulan laporan polis mengenai kes pecah masuk sebuah kereta di Taman Bukit Teratai Selasa lepas.

Beliau berkata susulan penahanan dua penagih dadah itu, polis turut merampas beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, cermin mata, kamera, topi, beg tangan wanita pelbagai jenama, beberapa jam tangan, minyak wangi dan kasut berjenama, keseluruhannya dianggarkan bernilai RM20,000.

“Siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh kes berkenaan dilakukan suspek lelaki sahaja.

“Isterinya didapati tahu kegiatan jenayah suami. Kedua-dua suspek yang tidak bekerja dipercayai mendapatkan bekalan dadah hasil jualan barang yang dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pasangan itu didapati mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri.

– BERNAMA


Pengarang :