Atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri dan Datuk Pandelela Rinong bersama pingat gangsa yang dimenangi dalam acara akhir 10 Meter platform seirama wanita pada Kejohanan Dunia 2022. Foto Facebook Majlis Sukan Negara
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA Kemboja: Pertaruh penerjun muda, Pandelela, Nur Dhabitah tidak tersenarai

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Persekutuan Renang Malaysia (MS) akan mempertaruhkan barisan penerjun muda bagi menggalas cabaran negara di Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada Mei ini tanpa penglibatan atlet elit, sebagai langkah memberi pendedahan kepada mereka di peringkat antarabangsa.

Penolong Jurulatih Kebangsaan Datuk Leong Mun Yee berkata skuad terjun negara baru memulakan semula latihan harian mereka semalam di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, selepas berakhirnya kejohanan terjun Grand Prix (GP) Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) Malaysia (GP Malaysia) pada November lepas.

Beliau berkata temasya dwi tahunan edisi ke-32 di Kemboja yang akan berlangsung pada 5 -17 Mei itu, merupakan kejohanan paling terdekat dalam kalendar MS, diikuti Kejohanan Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai dan Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China pada September, selepas FINA masih belum mengeluarkan sebarang jadual pertandingan untuk kalendar tahun ini.

“Atlet elit tidak akan pergi ke Sukan SEA Kemboja sebaliknya hanya atlet pelapis dan yang lebih muda akan dihantar ke sana. Jadi, memang sah atlet elit seperti Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Ooi Tze Liang tidak akan dihantar ke Kemboja.

“Kita (MS) memang mahu mendedahkan atlet muda (dengan kejohanan lebih besar) sebab kalau atlet senior sahaja yang pergi, pasti atlet muda tiada peluang (untuk menonjolkan bakat),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bekas penerjun negara yang juga pemenang pingat perak di Kejohanan Dunia Gwangju 2019 itu, memaklumkan hanya acara individu lelaki dan wanita akan dipertandingkan, manakala acara seirama lelaki dan wanita tiada dalam senarai temasya di Kemboja.

Mun Yee berkata antara nama penerjun muda berbakat yang disebut-sebut untuk mengisi slot itu ialah Enrique Maccartney Harold dan Bertrand Rhodict, kedua-duanya berusia 18 tahun yang akan mewakili negara dalam acara 10 meter (m) platform individu.

“Setakat ini nama Enrique Maccartney dan Bertrand memang ada dalam senarai 10m platform individu dan nama bagi acara lain akan menyusul kemudian sebab sekarang ini masih dalam proses mempersiapkan mereka (atlet muda) dalam tempoh empat ke lima bulan lagi,” katanya.

Pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam pada Mei lepas, kem terjun negara terus menjadi kuasa besar di rantau Asia Tenggara apabila muncul juara keseluruhan dengan kutipan lapan pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

Kejayaan itu secara tidak langsung membolehkan skuad terjun Malaysia memegang status berkenaan buat kali kesembilan berturut-turut sejak 2005. – BERNAMA


Pengarang :