Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menghadap Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany pada 5 Januari 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan Selangor zahir kembimbangan kapal TLDM sudah berusia, perlu ditukar

SHAH ALAM, 10 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan terhadap aset keselamatan negara khususnya kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berusia dan perlu ditukar.

Kebimbangan itu dizahirkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika pertemuan dengan Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany pada 5 Januari lalu.

“Semasa pertemuan ini, Baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM, menzahirkan kebimbangan terhadap aset-aset keselamatan khususnya kapal-kapal TLDM yang telah berusia dan perlu ditukar, demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan siap siaga,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Terdahulu, Baginda berkenan menerima menghadap Mohd Reza sempena persaraan beliau di Istana Bukit Kayangan di sini.

Beliau dilantik sebagai PTL pada 30 Nov 2018 dan akan menyerahkan tugas kepada penggantinya pada 23 Jan ini.

Mohd Reza turut merafak sembah memperkenalkan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob yang bakal menggantikan beliau sebagai Panglima Tentera Laut ke-18.


Pengarang :