DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenaan menzahirkan penghargaan kepada barisan Ahli Jawatankuasa Khutbah dan Panel Khutbah Negeri Selangor bagi tahun 2021-2023 yang telah menghasilkan teks-teks Khutbah Jumaat yang amat baik dan cemerlang sejak tahun lalu. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan: Terus tampilkan teks khutbah isu semasa, segarkan pemikiran umat

SHAH ALAM, 27 JAN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mahu ahli jawatankuasa khutbah dan panel khutbah negeri terus menghasilkan teks khutbah Jumaat yang relevan dengan keadaan semasa.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga mahu khutbah Jumaat menjadi antara platform wajib bagi umat Islam untuk merangsang dan menyegarkan kembali pemikiran mengenai isu-isu berkaitan syiar Islam.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada barisan ahli jawatankuasa khutbah dan panel khutbah bagi tahun 2021-2023 kerana telah menghasilkan teks-teks Khutbah Jumaat yang amat baik dan cemerlang sejak tahun lalu.

“Lazimnya, Baginda akan disembah maklum dengan isi kandungan beberapa hari sebelum, di mana Baginda sendiri teruja menantikan kupasan tajuk-tajuk yang dipilih.

“Titah Baginda, topik yang dipilih serta isi kandungan khutbah-khutbah Jumaat setiap minggu amat bertepatan dan sesuai dengan situasi semasa, dan ada kaitan dengan isu-isu yang sedang didepani oleh umat Islam dan masyarakat negara ini.

“Baginda berpandangan isi kandungan khutbah Jumaat yang difokuskan juga adalah padat, tepat dan mudah difahami oleh masyarakat dengan penggunaan bahasa yang ringkas dan jelas,” menurut kenyataan di Facebook itu.

Antara tajuk yang menyentuh tentang hal semasa pernah diketengahkan adalah Bahana Nikah Sindiket, Rasuah, Bahaya Pemikiran Islam Liberal, Kewajipan Mengundi Dalam Pilihan Raya dan khutbah minggu ini Bijak Menyingkapi Pendapat.

Sehubungan itu, Baginda berharap ahli jawatankuasa khutbah negeri yang dipengerusikan oleh Dato’ Setia Salehuddin Saidin serta panel khutbah yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, akan meneruskan momentum cemerlang ini.


Pengarang :