Orang ramai beratur membeli barangan keperluan asas yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran semasa pada Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Rawang di Dewan MPPK Kampung Melayu, Rawang pada 30 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Suri rumah sanggup beratur lebih sekali, bantu beli barangan murah untuk kakak, jiran

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 30 JAN: Seorang suri rumah Juita Abd Karim, 42, sanggup beratur lebih sekali setiap kali mengunjungi jualan murah untuk membantu membelikan barangan buat kakak dan jirannya yang tidak mempunyai kenderaan.

Juita yang menetap di Taman Pelangi di sini berkata dia membantu kakak dan jirannya kerana barangan yang dijual bukan sahaja murah tetapi berkualiti.

“Hari ini saya beratur dua kali untuk beli barang sendiri dan barang kakak. Memang dah biasa saya tolong belikan barang sebab mana nak cari lagi barangan murah seperti ini.

“Tapi ada juga lokasi jualan murah yang saya tak dapat beratur kali kedua sebab orang terlalu ramai,’’ katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Ehsan Rakyat Kampung Melayu Pekan Rawang di sini hari ini.

Seorang lagi pengunjung Zalina Jahaya, 48, turut mengakui berpeluang beratur dua kali untuk membelikan barangan murah buat diri dan jirannya.

“Saya dah lapan kali pergi ke jualan murah sejak tahun lepas dan ada beberapa kali saya berpeluang belikan barangan untuk keluarga dan jiran.

“Siapa yang tidak mahu berjimat apa lagi sekarang semua barang naik harga. Saya akan pergi ke empat jualan murah berturut-turut di Rawang minggu ini jika berkesempatan,’’ katanya yang membeli telur, beras dan ayam.

Sementara itu, S Seela, 48, dari Sungai Bakau pula sanggup meminta kebenaran daripada majikannya untuk masuk kerja lewat agar boleh membeli barangan murah.

Pekerja kilang percetakan itu memberitahu, dia tidak akan melepaskan peluang berbelanja di jualan murah yang berlangsung di sekitar Rawang.

“Saya ibu tunggal dengan pendapatan tidak seberapa. Bila ada jualan murah seperti ini memang amat membantu.

“Jadi saya tidak akan lepaskan peluang pergi ke jualan murah walaupun hari bekerja,’’ katanya yang membeli beberapa kampit beras, ayam, dan telur.

Kakitangan PKPS membuat persiapan sebelum memulakan jualan barangan keperluan asas yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran semasa sempena Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Rawang di Dewan MPPK Kampung Melayu, Rawang pada 30 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menawarkan barangan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual ialah ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :