Lim Chin Ewe, 68 menikmati jamuan makan besar bersama keluarganya sempena Tahun Baharu Cina di rumahnya dekat Lim Jetty, Jalan Pengkalan Weld, Georgetown. Foto Facebook Bernama
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tahun Baharu Cina disambut meriah selepas dua tahun dirai sederhana

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Tahun Baharu Cina disambut meriah di seluruh negara selepas dua tahun perayaan itu diraikan secara sederhana susulan pandemik Covid-19.

Di KUALA LUMPUR, tinjauan Bernama di Guan Di Temple Chinatown, mendapati perayaan itu diraikan secara sederhana namun meriah dengan kehadiran penganut Buddha ke rumah ibadat itu seawal pagi bagi melakukan aktiviti keagamaan.

Sambutan itu turut diserikan dengan persembahan tarian singa yang menjadi tarikan utama sempena perayaan Tahun Baharu Cina di rumah ibadat itu.

Seorang pekerja tokong, Lam Soon Ching, 38, berkata rumah ibadat itu kembali menerima kehadiran memuaskan pada Tahun Baharu Cina kali ini selepas ditutup selama dua tahun susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Penganut agama Buddha melakukan upacara keagamaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini. Foto Facebook Bernama

Di KELANTAN, hujan renyai-renyai tidak menghalang lebih 50 penduduk di sekitar Tokong Swee Nyet Keung, Gua Musang untuk menunaikan sembahyang sempena sambutan perayaan itu.

Emiline Lew, 30, berkata tahun arnab ini membawa kemeriahan cukup bermakna kerana beliau dapat meraikannya bersama keluarga dan sahabat handai berbanding situasi ketika pandemik COVID-19 sebelum ini.

“Sambutan kali ini menggamit nostalgia kerana kami sekeluarga dapat melakukan tradisi bersembahyang dan ziarah-menziarahi dengan gembira tanpa sebarang sekatan dan peraturan seperti sewaktu penularan Covid-19 sebelum ini,” katanya.

Di KEDAH, tinjauan Bernama di beberapa tokong sekitar bandar Alor Setar mendapati masyarakat Tionghoa mengambil kesempatan menjalankan upacara sembahyang bersama ahli keluarga seawal 8 pagi.

Tan Eng Ming, 46, berkata dia datang untuk menyempurnakan upacara sembahyang bersama 15 ahli keluarganya yang baru sahaja tiba dari Sabah semalam, bagi beraya bersama keluarga di Taman Wira Mergong, dekat sini.

“Sudah dua tahun keluarga kakak dan abang saya tidak pulang ke kampung untuk beraya berikutan pandemik Covid-19. Memandangkan keadaan sudah semakin baik, jadi mereka ambil peluang untuk berkumpul dan beraya di rumah saya,” katanya.

Di TERENGGANU, tinjauan Bernama ke Tokong Ho Ann Kiong di Kampung Cina, Kuala Terengganu mendapati penganut agama Buddha mula mengunjungi rumah ibadat itu seawal 7 pagi.

Warga emas, Lee Kok Khan, 60, berkata beliau sangat teruja berkunjung ke tokong pada pagi ini untuk bertemu dengan rakan-rakannya memandangkan pada tahun ini mereka tidak lagi terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah Covid-19.

Penganut agama Buddha melakukan upacara keagamaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini. Foto Facebook Bernama

Di PERAK, tinjauan di tokong Ling Sen Tong, Ipoh mendapati penganut Buddha mula hadir ke rumah ibadat itu seawal 7 pagi bagi upacara sembahyang sempena Tahun Baharu Cina.

Seorang gadis yang mahu dikenali sebagai Pang, 20, berkata dia gembira dapat hadir ke tokong itu bersama keluarganya bagi upacara sembahyang tanpa penjarakan fizikal dan SOP yang ketat seperti ketika pandemik Covid-19 melanda.

Di PERLIS, rata-rata masyarakat Cina di sini mengambil berkesempatan bersembahyang di Tokong Poh Aun Keong, Kangar, sempena Tahun Baharu Cina kali ini serta mendoakan agar pada tahun arnab ini negara akan terus harmoni.

Di JOHOR, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyertai kira-kira 500 orang mewakili pelbagai kaum dan agama menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Muhibah Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma Tionghua di Taman Sri Tebrau anjuran Persekutuan Tionghua Johor Bahru.

Majlis itu dimeriahkan dengan persembahan pukulan gendang, tarian masyarakat Cina, seni kaligrafi, wusyu selain tetamu turut berpeluang menggaul Yee Sang di meja makan masing-masing.

Di SELANGOR, kira-kira 10,000 penganut Buddha dijangka mengunjungi Tokong Kwan Imm, Klang dekat sini sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

Presidennya, Hong Shaw Lim memberitahu Bernama, sudah menjadi tradisi penganut Buddha mengunjungi kuil itu pada sambutan Tahun Baharu Cina dan kuil itu sudah dibanjiri penganut agama berkenaan seawal 8 pagi.

Di NEGERI SEMBILAN, masyarakat Tionghoa mengunjungi Kuil Then Sze Koon di puncak Bukit Wu Gong, Bukit Jung di Jalan Bukit Temiang, Seremban dekat sini seawal 8 pagi tadi walaupun keadaan hujan renyai.

Dreamer Yap, 61, melahirkan rasa syukur apabila dapat mengunjungi rumah ibadat itu selain dapat berkumpul bersama keluarganya yang terdiri daripada empat generasi serta berkesempatan merakam gambar kenang-kenangan bersama mereka di kuil tersebut.

Di MELAKA, kemeriahan sambutan itu tetap dirasai terutama Kampung Baru Machap Umboo, Alor Gajah dipilih sebagai tuan rumah majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina bagi peringkat negeri pada esok malam, meskipun hujan lebat turun sejak awal pagi tadi.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata pada majlis rumah terbuka yang dijangka dihadiri 5,000 pengunjung itu akan dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api di samping jamuan pelbagai juadah yang melambangkan tiga kaum terbesar di Melaka.

Di PULAU PINANG, masyarakat Tionghoa menyambut Tahun Baharu Cina dalam suasana meriah dengan komuniti itu mengambil peluang mengunjungi tokong serta menziarahi rumah terbuka ahli keluarga dan rakan-rakan.

Bagi Lee Lam Hooi, 34, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini lebih meriah dan menggembirakan kerana masyarakat Tionghoa boleh menganjurkan rumah terbuka tanpa perlu mengehadkan jumlah pengunjung untuk meraikan perayaan itu.

– BERNAMA

 


Pengarang :