EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim bercakap dalam Forum Rancangan Selangor Pertama (Ekonomi) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Taman industri pintar bermula, rancak pembangunan di Sepang, Kuala Langat

SHAH ALAM, 3 JAN: Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) giat digerakkan, termasuk Taman Industri Pintar NCT di Kuala Langat yang menerima kebenaran merancang bersyarat.

Pembangunan seluas 283.3 hektar itu sebahagian daripada sepuluh projek dua daerah tersebut termasuk Sepang yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) seperti diumum Julai tahun lalu.

Taman Industri Pintar NCT memberi tumpuan pada sektor semikonduktor, elektronik dan elektrikal (E&E), dan juga farmaseutikal.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menjelaskan satu lagi projek iaitu Sepang Gold Coast Global Village seluas 364.2 hektar juga dalam proses terakhir penilaian oleh Jabatan Teknikal.

“Jangkaan (pelaksanaan) projek ini dalam tahun ini juga, sejurus memenuhi syarat maka ia boleh dimulakan pada bila-bila masa sahaja.

“Saya percaya belum ada lagi mana-mana projek di Malaysia keseluruhannya nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM1 trilion,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah pembangunan projek berkaitan dilaksanakan pihak swasta melalui insentif ditawarkan Kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan pada kadar bersesuaian.

IDRISS yang membabitkan pembangunan seluas lebih 16,000 hektar untuk memastikan agihan saksama bagi aktiviti ekonomi negeri selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Projek pembangunan dicadang seperti sektor perindustrian, perkhidmatan logistik dan pergudangan, pelabuhan, perniagaan, perumahan, pelancongan dan pendidikan.


Pengarang :