David Ling, 43, menunjukkan keadaan kejadian ketika sidang media selepas majlis penghargaan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tragedi tanah runtuh Batang Kali di Wisma Antara Gapi, Hulu Selangor pada 13 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tanah runtuh Batang Kali: Bapa gembira dapat temukan anak dengan penyelamat

OLEH AZIAN AZIZ

HULU SELANGOR, 14 JAN: Bapa kepada salah seorang mangsa kejadian tanah runtuh di Batang Kali di sini pada 16 Disember lalu gembira kerana berpeluang bertemu dan menyampaikan penghargaan kepada pasukan bomba Kuala Kubu Bharu yang menyelamatkan anaknya.

David Ling Mung Siang, 43, berkata dia juga dapat menemukan anak lelakinya, Ling Zi Xuan, 20, dengan pegawai dan anggota penyelamat berkenaan untuk mengucapkan terima kasih.

“Mereka mengeluarkan anak saya yang terbenam separuh badan dalam runtuhan dengan selamat. Mereka juga membantu mencari isteri saya Liu Pei Si, 44, yang kemudian disahkan meninggal dunia dalam kejadian itu.

“Sebab itu Zi Xuan minta saya bawa dia jumpa abang bomba yang bantu dia dan mendiang ibunya kerana sangat terhutang budi. Akhirnya dia dapat bertemu mereka di Balai Bomba Kuala Kubu Bharu kelmarin dan malam tadi,” katanya.

Mung Siang ditemui selepas majlis penyampaian penghargaan kepada 10 agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika kejadian tanah runtuh berkenaan di pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Hulu Selangor malam tadi.

Mengimbas kejadian pada 16 Disember yang mengorbankan 31 nyawa itu, Mun Siang memberitahu Zi Xuan yang merupakan anak keduanya menemani ibunya yang merupakan guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong untuk menyertai perkhemahan sekolah di Father’s Organic Farm.

Dia kemudian merasa tidak sedap hati apabila melihat berita mengenai kejadian tanah runtuh di tempat perkhemahan itu dan cuba menghubungi anak, isterinya serta rakan mereka tetapi gagal.

“Tidak lama selepas itu saya terima panggilan daripada timbalan guru besar yang memaklumkan mengenai kejadian. Saya dan beberapa kenalan kemudian pergi ke Balai Polis Hulu Selangor untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya turut menghubungi kenalan di hospital untuk meminta bantuan mencari Zi Xuan dan rasa lega apabila mengetahui dia selamat dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Saya pasrah apabila mengetahui isteri telah tiada apabila pergi ke Hospital Sungai Buloh keesokan harinya,” katanya.

Mengenai sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, Mun Siang dan keluarga menyambutnya secara sederhana kerana masih berkabung atas pemergian isterinya sementara Zi Xuan pula masih menjalani beberapa sesi kaunseling kerana trauma akibat kejadian.

“Bulan Jun tahun lalu saya sedih kerana ibu saya meninggal dunia dan akhir tahun saya hilang isteri pula. Mulanya saya memang tidak dapat terima tetapi mujur keluarga dan rakan-rakan bagi sokongan dan kini keadaan saya semakin baik.

“Dulu setiap kali tahun baharu isteri saya akan masak tetapi sekarang dia sudah tiada. Jadi kami sekeluarga akan makan biasa-biasa sahaja,” katanya.


Pengarang :