Proses penggalian tanah runtuhan menggunakan jentera pengaut di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

Tanah runtuh: Polis terima dua laporan barang hilang

SHAH ALAM, 1 JAN: Polis menerima dua laporan mengenai kehilangan barang milik mangsa kes tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting, di sini, pada 16 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata pihaknya terkesan dengan satu hantaran berhubung isu tular di Facebook yang dipercayai dikeluarkan ahli keluarga mangsa.

“Hantaran ahli keluarga mangsa itu turut menyatakan terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan kad Touch ‘n Go milik mangsa.

“Kami menerima dua laporan polis berhubung isu tular berkenaan jam 2.47 petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilaporkan Harian Metro.

Suffian berkata susulan laporan itu, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

“Orang ramai diminta bertenang dan tidak gusar berhubung isu tular terbabit dan ahli keluarga mangsa dinasihatkan menghubungi polis jika mempunyai isu berkaitan kehilangan barang milik mangsa,” katanya.

Sebarang maklumat atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641223.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.46 pagi itu telah mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak dan seorang bayi lelaki berusia setahun.

Seramai 61 mangsa dilaporkan terselamat dalam insiden itu.


Pengarang :