Petugas kesihatan bersedia untuk memberikan suntikan dos penggalak kepada penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 15 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tarikh luput vaksin Covid-19 dipanjangkan – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 10 JAN: Tarikh luput vaksin Covid-19 yang digunakan di negara ini telah dipanjangkan tempohnya susulan penemuan data baharu mengenai kestabilan vaksin itu oleh syarikat pengeluar, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Bila NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) memberi kelulusan bersyarat, ada rolling submission seperti data-data terkini diberikan, kita lihat vaksin tersebut lebih stabil.

“Jadi (tarikh luput) vaksin itu kami panjangkan walaupun pada botol dah kata luput, kami panjangkan dalam enam bulan ke setahun bergantung pada data kestabilan yang kami terima dari syarikat (pengeluar),” katanya pada Sesi Libat Urus Menteri Kesihatan Bersama Media di sini hari ini.

Pada November lepas, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata NPRA telah meluluskan permohonan melanjutkan tempoh luput bagi vaksin CoronaVac dan Comirnaty, masing-masing bagi tempoh enam dan tiga bulan lagi berbanding tarikh asal yang dicetak pada label bebuli.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM Dr Saidatul Norbaya Buang pada sesi libat urus sama berkata secara purata pada masa ini sebanyak 7,000 suntikan dos penggalak kedua diberikan kepada penerima setiap hari.

Beliau berkata suntikan dos penggalak ditawarkan di 1,293 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara iaitu di 104 hospital KKM, 754 klinik kesihatan dan 435 PPV swasta.

Beliau berkata individu dalam kumpulan keutamaan boleh mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu atau secara ‘walk-in’ di hospital, klinik kesihatan atau PPV swasta, manakala kategori selain itu perlu membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera atau menelefon ke PPV swasta.

– BERNAMA


Pengarang :