Yayasan Selangor membuka permohonan pengambilan pelajar tingkatan satu di bawah program Rancangan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai 3 hingga 15 Januari 2023. Foto Facebook Yayasan Selangor
AGENSI SELANGOR

Tawaran ke sekolah terpilih, Yayasan Selangor buka permohonan pelajar tingkatan satu

SHAH ALAM, 28 DIS: Yayasan Selangor membuka permohonan pengambilan pelajar tingkatan satu di bawah program Rancangan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hingga 15 Januari ini.

Agensi itu memaklumkan sebanyak 500 tempat disediakan membabitkan 28 sekolah terpilih di Selangor dan Kuala Lumpur yang memiliki pelbagai kemudahan terbaik.

“Keutamaan diberikan kepada murid luar bandar yang bersekolah di sekolah rendah kerajaan atau sekolah swasta yang berdaftar dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Syarat permohonan adalah pemohon atau ibu atau bapa lahir di Selangor atau bermastautin sekurang-kurangnya 10 tahun, dan pendapatan isi rumah kurang RM2000 sebulan.

“Pemohon, ibu dan bapa adalah warganegara Malaysia, serta pemohon sihat fizikal, mental dan emosi dan tidak menyukarkan bergerak atau berjalan seperti naik turun bas, bersukan dan lain-lain,” katanya.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang www.yayasanselangor.org.my.

Rancangan Khas Yayasan Selangor adalah program bersama KPM bagi pengambilan dan penempatan pelajar tingkatan satu ke sekolah terkemuka di Kuala Lumpur serta Selangor yang diberi kemudahan tinggal di asrama.

Program itu bertujuan membantu pelajar miskin berpotensi menerusi pelbagai inisiatif seperti biasiswa, kelas bimbingan, dan program kecemerlangan akademik.


Pengarang :