Aksi skuad Harimau Malaya dalam perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil yang berakhir dengan kemenangan 4-0 membenam Kemboja pada 9 Disember 2022. Foto Facebook Football Association of Malaysia
AGENDANASIONALSUKANKINI

Tayangan aksi Malaysia – Thailand di 14 skrin besar malam esok

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Penyokong bola sepak tanah air yang tidak dapat membeli tiket bagi aksi Harimau Malaya menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, akan dapat menyaksikan tayangan perlawanan itu di 14 skrin besar yang disediakan di seluruh negara.

Antara lokasi skrin besar yang akan menayangkan aksi separuh akhir pertama Piala AFF itu termasuklah Dataran Merdeka di sini; Perbadanan Putrajaya, Presint 3 Putrajaya; Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di Negeri Sembilan dan Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kementerian berkenaan bersama Kementerian Perpaduan Negara, mengambil usaha itu bagi memastikan rakyat menikmati aksi tersebut.

“Semoga sokongan padu ini akan membawa Harimau Malaya ke peringkat akhir,” katanya menerusi ciapan terbaharu di akaun Twitter beliau.

Malaysia mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B dengan sembilan mata, selepas menewaskan Singapura 4-1 pada Selasa, dengan Vietnam muncul selaku juara kumpulan.

Selepas separuh akhir pertama di Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Thailand untuk aksi timbal balik di Stadium Thammasat, Pathum Thani yang terletak di utara Bangkok, pada 10 Januari ini.

Sekiranya berjaya menjinakkan pasukan Thailand yang merangkul enam gelaran Piala AFF, skuad Harimau Malaya akan bertemu pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Vietnam dan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Januari ini.

Kesemua 59,000 tiket bagi aksi esok telah habis dijual secara dalam talian dalam tempoh kurang 24 jam.

Senarai 14 lokasi tayangan besar:

1. Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

2. Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya

3. Kompleks Belia & Sukan Batu Uban, Pulau Pinang

4. Meow Garden, Ulu Kinta, Perak

5. Laman MBPJ, Petaling Jaya, Selangor

6. Dataran Kemerdekaan, Shah Alam

7. Perkarangan Majlis Perbandaran Sepang

8. Dataran Stadium Kajang

9. Dataran Tanah Lesen, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam

10. Kompleks Belia & Sukan Paroi, Negeri Sembilan

11. Restoran Al Marjan MITC, Ayer Keroh, Melaka

12. Dewan Bandaraya Kuantan, Pahang

13. Mydin Petrajaya, Kuching, Sarawak

14. Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah

– BERNAMA


Pengarang :