SHAH ALAM, 28 JAN: Selangor meneruskan jalinan kerjasama dengan Jepun dalam hubungan perniagaan ke perniagaan (B2B) bagi tempoh setahun, kata EXCO pelancongan.
Hee Loy Sian berkata menerusi kerjasama itu, agensi pelancongan di Jepun akan menawarkan pakej-pakej pelancongan yang dapat menarik pelancong Jepun.
“Sebelum ini kita pernah jalin kerjasama dengan Jepun sejak sempadan negara dibuka pada tahun lalu dan kini ia diteruskan lagi.
“Menerusi kerjasama ini, Jepun mempromosi Selangor dan begitu juga sebaliknya. Kerjasama ini dilihat dapat menarik lebih banyak pelancongan Jepun datang ke Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Pada 8 Januari, Loy Sian mengetuai delegasi Selangor ke Osaka, Jepun dengan misi meningkatkan kerjasama perniagaan antara pemain industri pelancongan negeri dan negara matahari terbit itu.
Sebelum ini, Tourism Selangor memaklumkan pengembara dari Jepun kekal ketiga tertinggi melawat Selangor menjelang akhir tahun lalu.
Menurut agensi itu, pelancong China mencatat peratusan paling ramai ke negeri ini diikuti pelawat dari Singapura.