Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengedarkan limau dan angpau kepada masyarat Cina di sekitar Pasar Borong Selayang pada 14 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALRENCANARENCANA

Terus kekal suasana aman, harmoni dalam masyarakat majmuk

Oleh Dato’ Seri Amirudin Shari

Saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2023 kepada seluruh masyarakat Tionghoa khususnya di Selangor serta seluruh negara.

Saya pasti sambutan kali ini akan penuh meriah dengan peluang berkunjung ke rumah ibu bapa serta keluarga membawa kegembiraan kepada masyarakat Cina sempena sambutan tahun baharu ini.

Aspek yang sentiasa diketengahkan pada setiap sambutan Tahun Baharu adalah semangat kekeluargaan dan kepentingan mentaati ibu bapa yakni salah satu elemen terpenting dalam ajaran Confucius.

Menurut astrologi Cina, terdapat 12 haiwan yang menggambarkan tanda-tanda Zodiak Cina. Tahun 2023 melihat arnab air kembali setelah 60 tahun berlalu. Ini disebabkan setiap haiwan dikatakan mempunyai lima unsur menurut fahaman astrologi Cina iaitu kayu, api, tanah, logam, dan air.

Arnab air ini adalah simbol yang membawa keamanan, panjang umur, serta kemakmuran.
Pemaknaan simbol ini datang tepat pada waktunya, apabila negara kita memasuki era baharu yang berlandaskan perpaduan dan bertujuan membawa kemakmuran dan keamanan bagi segenap lapisan masyarakat.

Ini kerana kita telah melalui zaman keperitan dan kegelapan semenjak Mac 2020 sehingga bulan November 2022, termasuk krisis pandemik Covid-19, krisis politik serta penyalahgunaan kuasa seterusnya kekangan pertumbuhan ekonomi yang sedikit sebanyak disebabkan elemen geopolitik dunia dan perang.

Alhamdulillah, dengan pertalian dan persabahatan yang erat antara pentadbiran Kerajaan Negeri dan kerajaan persekutuan, Selangor berada dalam posisi tepat untuk memasuki era baharu dengan mengambil iktibar cabaran-cabaran yang telah kita lalui.

Selangor adalah sebuah negeri yang pelbagai, penuh dengan keunikan dan kerencamannya– sebuah ‘melting pot’ negara Malaysia.

Yang dijaga dan dipelihara bukan satu kelompok atau segelintir pihak sahaja. Kepentingan semua terutamanya rakyat dan masyarakat yang amat memerlukan merupakan dorongan kepada pentadbiran ini untuk meneruskan tekad supaya Selangor Bangkit dan kita Maju Bersama.

Tekad ini diterjemah menerusi tindakan-tindakan Kerajaan Negeri pada tahun lalu dan diteruskan tahun ini. Misalnya, selepas Rancangan Selangor Pertama (RS-1) diluluskan pada tahun 2022, kini Unit Implementasi dan Pemantauan Prestasi (SIAP) sedang meneliti garis masa bagi projek-projek utama di dalam RS-1 untuk diteruskan.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi menurap, melebar dan menaik taraf jalan-jalan di negeri Selangor pada tahun ini.

Bagi menghargai jasa warga emas, Kerajaan Negeri telah meningkatkan baucar Jom Shopping Perayaan daripada RM100 kepada RM200 bagi keluarga di negeri Selangor, dan ini termasuk pemohon dalam Program Skim Mesra Usia Emas. Seramai 82,400 penerima dijangka menerima manfaat sempena perayaan-perayaan utama tahun ini, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, dan Deepavali.

Akhir sekali, saya mengharapkan yang terbaik untuk semua, agar kita terus cekal, terus bersemangat dan terus bekerja bagi meneruskan kehidupan kita. Dengan doa dan harapan tersebut, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua.

Xin Nin Kuai Le,
Yi Ben Wan Li,
Zhu Bao Ping An.

Gong Xi Fa Cai buat anda semua.

*Dato’ Seri Amirudin Shari adalah Dato’ Menteri Besar Selangor


Pengarang :