Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan pendeposit dan orang ramai untuk lebih berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan (gambar hiasan). Foto Arkib SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

TH lantik 23 syarikat sebagai pengelola jemaah haji tahun ini

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyerahkan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 22 syarikat pelancongan tempatan dan anak syarikatnya, TH Travel & Services Sdn Bhd, bagi musim haji 1444H / 2023.

Pengarah Eksekutif TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pemilihan tersebut, bagi memastikan syarikat pelancongan tempatan yang terpilih, memiliki kapasiti teguh, kepakaran dan pengalaman mencukupi serta berwibawa, dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan menjaga kebajikan jemaah haji negara.

Jelasnya syarikat pelancongan berdaftar boleh memohon untuk menjadi PJH yang berlesen dan dipilih secara tahunan, setelah memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

Malah katanya musim haji kali ini terdapat syarikat PJH yang baharu diluluskan lesen bagi memberi lebih banyak pilihan kepada bakal haji.

“TH ingin mengingatkan semua bakal jemaah haji yang berhasrat ingin menunaikan haji tahun ini, untuk lebih berhati-hati dan memilih pakej yang disediakan oleh syarikat-syarikat PJH yang dilesenkan ini sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saleh berkata bakal haji yang berhasrat ke tanah suci melalui PJH perlu mendaftar dengan syarikat pilihan mereka, selepas menerima surat tawaran menunaikan haji.

Beliau berkata kesemua wakil syarikat terlibat, telah diberi taklimat mengenai terma dan syarat perkhidmatan pakej musim haji dan orang ramai boleh merujuk kepada laman web rasmi TH di pautan www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Pusat Panggilan Tabung Haji di talian 03-62071919, untuk maklumat lanjut.

Syed Saleh berkata mana-mana individu atau agensi pelancongan yang mengiklankan, menawarkan atau mengelola perkhidmatan pakej haji tanpa mendapat kelulusan daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 27, Akta Tabung Haji 1995.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa patuh kepada peraturan Kerajaan Arab Saudi dengan menggunakan Visa Haji dan tidak menggunakan visa pelancongan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

– BERNAMA


Pengarang :