Kerajaan akan laksana subsidi bersasar bagi ringan beban jemaah haji.
AGENDANASIONAL

TH masih beri bantuan kewangan bersasar kepada jemaah muassasah

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Lembaga Tabung Haji (TH) masih membiayai sebahagian kos jemaah Malaysia yang menunaikan ibadah haji buat pertama kali secara muassasah melalui Bantuan Kewangan Haji (Hafis).

Agensi itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pada musim haji tahun 2022, bantuan sebanyak 62 peratus diberikan kepada seorang jemaah golongan B40 iaitu RM17,652 manakala 55 peratus bagi jemaah bukan B40 iaitu RM15,652 bagi melakukan ibadah itu.

“Ini dilakukan melalui penetapan bayaran haji bersasar pada kadar RM10,980 (38 peratus daripada kos haji) sejak 2022 bagi jemaah B40 manakala RM12,980 (45 peratus daripada kos haji) bagi jemaah haji bukan B40.

“Sementara itu, jemaah muassasah yang menunaikan haji buat kali kedua atau lebih tiada bantuan kewangan haji dan bayaran penuh kos akan dikenakan kepada mereka,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut bayaran kepada jemaah adalah lebih rendah daripada kos sebenar menunaikan ibadah haji iaitu sebanyak RM28,632 seorang.

TH turut menjelaskan lima faktor kenaikan kos yang di luar kawalan mereka.

“Faktor penyumbang berkenaan adalah kenaikan kadar inflasi dan sara hidup di Arab Saudi, pergerakan mata wang asing, pengenalan caj dan pencukaian baharu, penambahan kualiti perkhidmatan dan kemudahan serta pembangunan di Makkah dan Madinah.

“Untuk makluman, sebanyak 64 peratus kos haji dibelanjakan untuk penginapan, penerbangan carter haji manakala 36 peratus lagi digunakan bagi perkhidmatan di Arab Saudi,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :