Pembuat kavadi, R.Ramesh, 53, sibuk menyiapkan tempahan kavadi pelanggannya di George Town, Pulau Pinang sempena sambutan perayaan Thaipusam 5 Februari 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Thaipusam: Pengusaha kembali hasilkan kavadi selepas dua tahun

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Ia suasana muram bagi pengusaha kavadi sejak dua tahun lepas susulan amalan membawa kavadi tidak dibenarkan semasa perayaan Thaipusam bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, tahun ini pengusaha kembali untuk menghasilkan kavadi kerana tiada sekatan pergerakan dikenakan terhadap Thaipusam dan penganut akan membayar nazar dengan pembawa kavadi diiringi muzik gendang tradisional, yang akan disambut pada 5 Feb ini.

Seorang pengusaha, K.Selvaraja, 53, berkata tempahan terhadap kavadi amat menggalakkan sejak beberapa bulan lepas sehingga beliau terpaksa berhenti menerima tempahan dan menumpukan untuk menyiapkannya.

Selvaraja yang mula membuat kavadi sejak berusia 26 tahun berkata beliau menerima tempahan 20 kavadi untuk digunakan pada 4 dan 5 Feb ini dan sebahagian pembawa kavadi mula mengambil kavadi sejak minggu lepas di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves dekat sini.

“Tahun ini, cabaran utama pembuatan kavadi ialah harga barang. Kavadi dihasilkan saya ialah kavadi bulu burung merak dan harga bulu meningkat sedikit, jadi kami terpaksa meningkatkan sedikit harga kavadi yang dijual berbanding sebelum ini.

“Harga minimum bagi kavadi yang dijual ialah RM800 dan harganya boleh mencecah hingga RM1,200 atau lebih bergantung pada saiz dan jenis kavadi yang dihasilkan,” kata Selvaraja yang mempelajari seni pembuatan kavadi daripada mendiang bapanya kepada Bernama baru-baru ini.

Dibantu oleh dua anak lelakinya, S.Teenesh, 26, dan S.Satish Raj, 24, beliau menghasilkan kavadi yang cantik dan rumit di rumahnya di Rimbayu di sini.

Tahap dedikasi anak beranak berkenaan terhadap pembuatan kavadi dapat dilihat apabila mereka berpuasa selama 96 hari sebelum perayaan keagamaan tahunan itu termasuk mengamalkan diet vegetarian.

Kavadi, dalam bahasa Tamil bermaksud dibawa atau dijunjung di atas bahu untuk dipersembahkan kepada Dewa Murugan dan ia dianggap sebagai amalan yang mulia serta sukar yang dipersembahkan kepada Dewa Murugan oleh penganutnya.

Sementara itu, Satish berkata dia mula membantu bapanya sejak berusia lapan tahun dan berazam akan memelihara seni pembuatan berkenaan.

“Daripada hobi, ia bertukar kepada kecintaan terhadap pembuatan kavadi ini bersama abang dan bapa malah seluruh keluarga gembira sepanjang 96 hari ini. Sambutan Thaipusam lebih meriah di rumah saya berbanding Deepavali,” katanya.

Thaipusam ialah perayaan yang disambut pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bagi memperingati peristiwa Dewi Parvati memberikan lembing suci kepada anak lelakinya Dewa Murugan bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

– BERNAMA


Pengarang :