PBTSELANGOR

Tiada lagi tambang bas percuma buat warga asing, kutipan bantu kos operasi

Oleh AZIAN AZIZ

PETALING JAYA, 11 JAN: Mulai bulan ini, warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) perlu membayar tambang 90 sen.

Datuk Bandarnya Mohamad Azhan Md Amir berkata keputusan itu dibuat atas arahan Kerajaan Negeri.

“Sebenarnya bas percuma ini kita sediakan dan bagi keutamaan kepada penduduk tempatan tetapi kita dapati ramai yang menggunakan perkhidmatan tersebut adalah warga asing. Jadi mereka harus bayar.

“Sudah tentu buat permulaan akan ada ‘bunyi-bunyi’ dan sebagainya tetapi kita harus kenakan bayaran kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan RM250 kepada 60 keluarga kurang berkemampuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan MBPJ SS3/14, Taman Sentosa di sini hari ini.

Menurut Mohamad Azhan, terdapat 22 bas percuma beroperasi di Petaling Jaya setakat ini dan kos pengoperasiannya kira-kira RM6 juta setahun.

“Jika kita kenakan bayaran kepada warga asing, kita boleh gunakan duit itu untuk membantu menampung kos pengoperasian bas percuma pada masa akan datang.

“Selama ini kita guna bajet sendiri termasuk melalui tabung amanah pengangkutan MBPJ,” katanya.


Pengarang :