Orang ramai membeli barangan keperluan di ST Rosyam Mart sempena jualan gudang dengan potongan harga sehingga 50 peratus di Seksyen 9, Shah Alam pada 6 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tidak bincang perkenal GST, kerajaan usaha tambah pendapatan tanpa cukai baharu

SHAH ALAM, 11 JAN: Tiada sebarang keputusan muktamad atau perbincangan mengenai pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus melaksanakan pendekatan sedia ada pada masa ini.

“Setakat itulah yang boleh saya katakan (mengenai GST). Kerajaan belum berbincang atau ada sebarang keputusan mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Akauntan Nasional 3.0 di sini, hari ini.

Ahmad bagaimanapun menyifatkan pelaksanaan GST sebagai satu langkah baik sehinggakan 83 peratus negara di dunia telah melaksanakan sistem percukaian tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan kini sedang meneliti cara untuk menambah pendapatan kerajaan tanpa perlu memperkenalkan cukai baharu.

“Usaha ke arah itu sedang dibuat. Sebagai contoh, kita boleh mengurangkan ketirisian dari segi penyeludupan (barangan). Ada yang menyatakan bahawa pelarian cukai rokok misalnya membabitkan jumlah lebih kurang RM5 bilion.

“Jika kita dapat mengetatkan semua perkara bagi mengelak pelarian cukai dan penyeludupan rokok, maka tanpa sebarang cukai baharu, kerajaan boleh mendapat (pendapatan) tambahan sebanyak RM3 bilion hingga RM5 bilion,” katanya.

Mengulas isu kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), beliau berkata pihak Bank Negara (BNM) wajar memberi penjelasan kepada rakyat jika terdapat sebarang pengumuman baharu mengenainya.

Beliau juga telah memaklumkan perkara itu kepada BNM serta kepentingan untuk masyarakat mendapat pemahaman lebih jelas mengenai hubungan OPR, inflasi, kadar tukaran wang serta pertumbuhan ekonomi.

“Rakyat mungkin tidak faham kerana itu bukan bidang mereka. Oleh itu, adalah menjadi tugas BNM untuk menjelaskan kepada rakyat sebelum membuat pengumuman yang hanya mereka faham,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :