AGENDAJENAYAH

Tiga lelaki menyamar anggota polis ditahan

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Helah tiga lelaki tempatan menyamar sebagai anggota polis untuk melepaskan diri ketika diperiksa oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) membawa padah apabila mereka ditahan di Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Subang Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, berkata dalam kejadian pada jam10.10 malam itu, polis mengesan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki oleh tiga suspek berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa ditahan, salah seorang daripada suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis tetapi gagal mengemukakan kad kuasa sebagai bukti dan hasil pemeriksaan lanjut, polis telah menemukan sebuah beg hitam yang mengandungi pelbagai barangan kelengkapan polis.

“Antaranya sepasang gari, kad pas polis berserta gambar dan nombor badan, lencana besi lambang polis dan rantai Polis Antarabangsa (Interpol). Ketiga-tiga suspek gagal memberikan keterangan yang munasabah berkenaan barangan tersebut,” katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia 18 hingga 31 tahun itu direman empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara serta denda.

Dalam perkembangan lain, Wan Azlan berkata seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan kerana disyaki memecah masuk ke dalam sebuah rumah di sekitar Subang Jaya, pada pagi Sabtu lalu, mengakibatkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM5,800.

Katanya, suspek berjaya ditahan di belakang sebuah restoran di Jalan SS15/8a,Subang Jaya, pada jam 11.30 pagi semalam dan hasil penahanan, polis merampas beberapa barangan termasuk milik mangsa.

“Siasatan awal mendapati suspek memilik lapan rekod jenayah dan satu rekod dadah. Dia kini ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :