Anggota bomba melakukan pencarian di Sungai Chiling, Pertak, Kuala Kubu Bharu selepas menerima maklumat berhubung kejadian dua penuntut universiti lemas pada 30 Disember 2022. Foto JBPM
AGENDANASIONAL

Tiga sungai di Hulu Selangor catat banyak kes lemas, terperangkap dalam kepala air

SHAH ALAM, 11 JAN: Tiga lokasi perkelahan di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor dikenal pasti sebagai kawasan yang kerap melaporkan kejadian kes mati lemas dan terperangkap dalam kepala air sepanjang 2020 hingga 2022.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Dato Norazam Khamis berkata kawasan tersebut adalah Sungai Batang Kali, Sungai Chiling dan Sungai Pertak.

“Secara umumnya, kesemua sungai atau jeram berisiko untuk berlaku kepala air atau berlaku insiden lemas namun begitu jika dikategorikan sebagai lokasi hotspot (titik panas), ia adalah (lokasi di mana) kejadian yang berlaku lebih dari sekali,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan statistik, sepanjang tempoh itu sebanyak 15 kes mati lemas dan enam kes terperangkap dalam kepala air dilaporkan di Selangor melibatkan 10 kawasan rekreasi di sungai, air terjun, hutan lipur dan lata.

Daripada jumlah itu katanya, Sungai Batang Kali mempunyai rekod kes lemas paling tinggi iaitu lima kes dan empat kes melibatkan mangsa yang terperangkap dalam kepala air.

Justeru, Norazam menasihatkan orang awam agar berhati-hati dan berwaspada terhadap tanda-tanda kepala air sebelum memulakan aktiviti perkelahan atau sebarang aktiviti rekreasi berdekatan sungai.

“Sekiranya terperangkap di kepala air, hubungi pasukan penyelamat atau tunggu sehingga kepala air reda dan jangan menyeberangi sungai pada waktu itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :