Persembahan tarian singa ketika majlis menghiasi kepala singa baharu bersama Persatuan Tarian Naga dan Singa Khuan Loke di Dewan Serbaguna Seri Setia, Petaling Jaya pada 21 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tolak persepsi masyarakat, pelajar Melayu mahir tarian singa

PETALING JAYA, 21 JAN: Tiada pendidikan asas bahasa Cina bukan penghalang buat seorang remaja lelaki untuk menyertai kumpulan tarian singa sejak setahun lalu.

Muhd Arif Kamsha Munadi,17, berkata minat yang mendalam terhadap seni warisan masyarakat Tionghua itu membuatkannya nekad walaupun berhadapan dengan persepsi masyarakat.

“Saya sudah lama mahu sertai pasukan tarian singa ini, tetapi atas beberapa masalah seperti pandangan masyarakat yang tidak biasa melihat orang Melayu dalam tarian singa, saya terpaksa tangguhkan.

Muhd Arif Kamsha Munadi ,17,

“Saya akhirnya gembira kerana mendapat sokongan kawan-kawan dan keluarga. Malah, pasukan saya juga banyak memberi sokongan moral,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Muhd Arif bersama kumpulannya, Persatuan Tarian dan Singa Khuan Loke membuat persembahan sempena upacara ‘eye dotting’ di Koridor Sejarah Kampung Baru Dewan Serbaguna Sungai Way di sini.

Muhd Arif yang sering diberi peranan sebagai penari kepala atau ekor singa berkata, beliau memperuntukkan masa selama dua jam dan dua kali seminggu untuk berlatih.

Menurutnya tarian singa juga mengajarnya erti disiplin, komitmen, dan tanggungjawab berpasukan yang tinggi terutamanya ketika membuat persembahan.

“Saya bercita-cita untuk menyertai pertandingan tarian singa di peringkat antarabangsa jika diberi kesempatan suatu hari nanti,” kata anak tunggal ini.


Pengarang :