AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tourism Selangor galak penglibatan komuniti dan agensi, perkasa pelancongan agro

SHAH ALAM, 23 JAN: Tourism Selangor menggalakkan penglibatan komuniti dan agensi bagi memperkasa pelancongan agro negeri ini, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Menurut Azrul Shah Mohamad pelancongan agro berasaskan komuniti mampu memacu ekonomi negeri selain memberi pengalaman menarik kepada pelancong.

“Pelancongan berasaskan komuniti dijangka meningkatkan industri ini dengan pembawakan konsep berbeza kepada pelancong bukan sahaja dari dalam negara malah luar negara.

“Ia juga dijangka meningkatkan ekonomi negeri khususnya bagi sektor pertanian, penternakan serta industri kecil dan sederhana,” katanya menambah badan pelancongan negeri itu bekerjasama dengan 21 Hos Komuniti dan enam pihak berkuasa tempatan bagi program Hos Komuniti tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan beberapa lokasi berpotensi dibangunkan pelancongan agro antaranya Sungai Panjang Agro Tourism (SPAT), Persatuan Kemajuan Pelancongan Sekinchan dan Persatuan Kebajikan Rakyat Mukim Dengkil.

Tambahnya kawasan lain meliputi Inap Desa Sungai Sireh di Kuala Selangor, Homestay Haji Dorani dan Inap Desa Banghuris.

“SPAT yang dikelola Persatuan Integrasi Komuniti Usahawan Muda bertumpu kepada peningkatan sosioekonomi penduduk setempat khususnya golongan belia dan wanita di Sungai Panjang dan kawasan sekitarnya.

“Pelancong boleh merasai sendiri aktiviti berkonsepkan pelancongan berasaskan komuniti seperti lawatan ke kebun diusahakan lebih 25 pengusaha ladang komersial.

“Pada masa sama melawat kehijauan sawah padi dengan berbasikal dan menaiki trem atau menggunakan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) yang disediakan pengusaha inap desa berdekatan,” katanya lagi.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM500,000 bagi pembangunan pelancongan agro di bawah Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang menjadi teras kepada sektor pertanian negeri.


Pengarang :