Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim (tengah) bersama penerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) kejadian tanah runtuh pada majlis penyampaian bantuan itu hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tragedi tanah runtuh Batang Kali beri iktibar kepada mangsa terselamat

MELAKA, 17 JAN: Kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor pada 16 Dis tahun lepas memberi kesan mendalam dan iktibar buat mangsa terselamat Quek Sze Cheong.

Mengimbau kejadian yang meragut 31 nyawa peserta perkhemahan di tapak ladang itu, Quek, 37, berkata antara insiden yang masih segar dalam ingatannya ialah menyelamatkan seorang ibu dan anaknya yang tertimbus dalam tanah pada kejadian kira-kira 2.10 pagi.

“Selepas keluar dari khemah, saya cuba memahami apa yang berlaku. Pada mulanya saya ke belakang khemah dan terkejut melihat puluhan khemah lain tidak lagi kelihatan sebaliknya terdapat timbunan tanah yang agak tinggi.

“Kemudian, saya nampak kaki manusia di sebalik tanah yang tertimbus itu dan tanpa berlengah saya dan seorang rakan yang terselamat berusaha mengeluarkan ibu dan bayinya walaupun dalam keadaan kaki terseliuh,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Taman Padang Balang, Batu Berendam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada empat ketua isi rumah yang terselamat dalam kejadian berkenaan iaitu Quek; Tee Yeow King, 38, Samuel Lim Huan Ching, 38, dan Teh Kim Hock, 48.

Bantuan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim dan turut dihadiri Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial NADMA Roselin Rajab.

Quek berkata walaupun masih trauma dengan kejadian berkenaan, ia bukan penghalang buat bapa kepada dua anak perempuan berusia empat dan enam tahun itu untuk melakukan aktiviti perkhemahan bersama keluarga dan rakan-rakannya.

Jurutera itu berkata hal ini kerana perkhemahan ialah satu daripada aktitivi kegemaran keluarganya terutama pada musim cuti panjang.

“Saya dan keluarga serta rakan-rakan sering melakukan aktiviti perkhemahan dan kejadian tanah runtuh di Batang Kali ialah insiden pertama yang kami lalui dan tidak akan saya lupakan.

“Namun mungkin lepas enam bulan baru kami sekeluarga akan mulakan kembali aktiviti perkhemahan tetapi akan lebih berhati-hati dan elakkan berkhemah di kawasan berisiko seperti bukit dan pantai terutama pada Monsun Timur Laut,” katanya.

Quek dan isteri, Lau Ying Ai, 36, bersama dua anaknya Quek Zi Qi, 6, dan Quek Zi Jing, 4, serta 17 lagi rakan dan ahli keluarga mereka terselamat dalam kejadian itu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR). Bantuan yang diberikan sangat cepat walaupun saya tahu banyak kesukaran yang dilalui petugas untuk masuk ke kawasan tanah runtuh.

“Terima kasih juga kepada kerajaan atas sumbangan BWI kepada keluarga yang terselamat dan juga meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Meor Ismail berkata NADMA telah selesai menyerahkan BWI berjumlah RM310,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi itu.

“Waris akan menerima BWI sebanyak RM10,000 setiap seorang mangsa yang terkoban dan bagi yang terselamat, sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada setiap ketua isi rumah.

“Bagi mangsa terselamat, sebanyak 21 ketua isi rumah akan menerima BWI dan setakat ini sebanyak 15 ketua isi rumah telah pun menerimanya,” katanya.

Beliau berkata penyerahan BWI kepada semua penerima akan diselesaikan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina dan bantuan berkenaan sebagai tanda simpati kerajaan kepada mangsa dan keluarga terlibat.

– BERNAMA


Pengarang :