AGENDANASIONAL

Tujuh daerah di Selangor, KL diramal ribut perit dan hujan hingga 7 malam

SHAH ALAM, 14 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Selangor melibatkan tujuh daerah sehingga 7 malam ini.

Agensi tersebut menerusi Twitter memaklumkan daerah tersebut ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang serta seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Johor.

Situasi sama turut dijangka di Kedah melibatkan Kuala Muda, Sik dan Baling; Perak (Hulu Perak), Kelantan (Jeli, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang), Terengganu (Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Bentong, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin).

Manakala Sarawak pula di Sri Aman, Sarikei (Julau), Sibu, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu (Tatau).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :