Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunarajah beramah mesra bersama tetamu pada majlis Ponggal perpaduan Sentosa di PKM DUN Sentosa pada 29 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tujuh projek naik taraf kemudahan awam rancang dilaksana di DUN Sentosa tahun ini

KLANG, 30 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa merancang melaksanakan tujuh lagi projek naik taraf kemudahan awam tahun ini untuk keselesaan penduduk di kawasan itu.

Wakil rakyatnya Dr G Gunaraj berkata Projek Selangor Penyayang menumpukan baik pulih padang bola sepak, trek jalan dan jalan kampung di bawah Pembangunan Luar Bandar (PLB).

“Kita boleh mencadangkan apa-apa projek naik taraf tetapi saya beri keutamaan kepada perkara berkenaan. Cadangan projek itu akan diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum lantikan kontraktor dibuat.

“Ketika ini ada tujuh projek yang masih menunggu kelulusan merancang daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK). Saya berharap ia berjalan cepat,” katanya.

Beliau ditemui pada sambutan Ponggal perpaduan Sentosa yang dihadiri lebih 300 masyarakat berbilang bangsa di perkarangan pusat khidmat masyarakat DUN Sentosa di sini semalam.

Aktiviti pada majlis Ponggal perpaduan Sentosa di PKM DUN Sentosa pada 29 Januari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Gunaraj memaklumkan tiga projek naik taraf kemudahan awam berjaya disiapkan dalam tempoh tiga minggu pada Disember lalu.

Menurutnya tiga projek pertama itu membabitkan trek jalan di Bukit Tinggi, Klang; Taman Warga Emas (Taman Sentosa) dan Laman Bersenam atau Zumba.

“Projek Selangor Penyayang satu-satunya projek yang diperkenal Kerajaan Negeri untuk dijalankan secara terus tanpa mengambil masa lama. Sebagai wakil rakyat, saya menyambut baik peruntukan disalurkan bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Belanjawan 2023 memperuntuk RM28 juta di bawah inisiatif Projek Selangor Penyayang sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.

Setiap DUN diberi RM500,000 untuk menjalankan projek penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :