Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang dipercayai terjatuh ke laut di Jeti Awam Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 21 Januari 2023. Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
AGENDA NASIONAL

Usaha mencari lelaki dipercayai terjatuh ke laut semalam diteruskan

SHAH ALAM, 22 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang dipercayai terjatuh ke laut di Jeti Awam Tanjung Sepat, Kuala Langat, semalam.

Pengarahnya Kepten Maritim V Siva Kumar berkata usaha mengesan S Muniandy, 63, yang memasuki hari kedua bersambung pada 7 pagi tadi dengan dikoordinasikan Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru.

Beliau berkata operasi turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti nelayan setempat.

Siva Kumar berkata operasi itu mula diaktifkan pada 7.30 malam tadi dengan mengatur gerak bot PERKASA 36.

“APMM Selangor turut menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Maritim Awam Tanjung Sepat hari ini dan menghantar bantuan di darat untuk pemantauan sekitar lokasi kejadian di pesisir pantai Tanjung Sepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Siva Kumar, Muniandy, dipercayai jatuh ke laut selepas anaknya menemukan motosikal, pakaian berupa kain sarung serta selipar miliknya di hujung jeti kira-kira 11 pagi Jumaat lepas.

Kain sarung serta selipar milik lelaki warga emas ditemui di hujung jeti pada jam 11 pagi Jumaat, 20 Januari 2023. Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Beliau berkata Muniandy yang bekerja sebagai penimbang kelapa sawit kali terakhir dilihat memakai baju kemeja biru muda dan berseluar pendek warna coklat sebelum dilaporkan hilang di jeti berkenaan.

Katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, aduan serta situasi kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-3176 0627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

– BERNAMA


Pengarang :