Sumber Grafik Media Selangor
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Usaha pulihkan ekonomi, inflasi di sebalik kemelesetan global

SHAH ALAM, 4 JAN: Ekonomi Malaysia terus mampan meski berdepan cabaran susulan jangkaan kemelesetan di peringkat global pada 2023 oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Bank Negara Malaysia (BNM) pada 11 November mengumukan pertumbuhan lebih kukuh dengan 14.2 peratus pada suku ketiga 2022.

Kali terakhir ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan dua angka pada suku kedua tahun lalu iaitu sebanyak 16.1 peratus. Pada suku pertama tahun ini, Malaysia mencatat peningkatan lima peratus manakala 8.9 peratus pada suku kedua.

Pertumbuhan itu mendorong firma penyelidikan membuat jangkaan ekonomi lebih baik dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berkembang melebihi lapan peratus.

Menurut Maybank Investment Bank (IB) pada 15 November lalu, terdapat beberapa pemangkin terutamanya keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang menjadi indikator kestabilan politik serta kerajaan.

Beberapa penganalisis ekonomi berpendapat pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan menteri kewangan mampu menarik pelabur ke Malaysia.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research turut menyemak semula pertumbuhan tahun ini kepada 8.2 peratus daripada 6.5 peratus sebelum ini berdasarkan pertumbuhan suku ketiga yang kukuh.

Firma itu menyebut ekonomi terus disokong permintaan dalam negeri di tengah-tengah keadaan pasaran buruh yang semakin baik.

Namun di sebalik keyakinan pemulihan itu, negara berdepan krisis saling berkait iaitu gangguan rantaian bekalan kesan perang di Ukraine dan dasar menangani pandemik di China.

Krisis Ukraine-Rusia menyebabkan harga baja meningkat, selain ketidaktentuan bekalan komoditi dari dua negara itu seperti gandum, petroleum, bijirin dan minyak matahari.

Dasar kawalan pergerakan bagi menangani wabak juga menyebabkan pertumbuhan ekonomi China perlahan sebanyak satu peratus. Penganalisis menjangkakan ia memberi kesan kepada KDNK negara antara 0.3 hingga 0.5 peratus.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan pertumbuhan ekonomi global pada tahun depan dianggarkan berkurangan iaitu 3.2 peratus tahun ini kepada 2.9 peratus pada 2023.

Selain itu, Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikan kadar faedah negara itu bagi menghalang kenaikan kadar inflasi. Sepanjang 2022, Fed menaikkan kadar faedah sebanyak empat kali, langkah yang boleh menjerumuskan ekonomi dunia ke arah kemelesetan.

Pengerusinya, Jerome Powell dipetik berkata, pihaknya mengunjurkan ia akan terus menaikkannya sehingga melebihi 5.0 peratus pada 2023, paras yang tidak pernah disaksikan sejak kemelesetan ekonomi pada 2007.

Cabaran lain ialah penyusutan nilai ringgit yang memberi kesan kepada inflasi, menyebabkan BNM menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR). Pada 4 November ringgit turun ke paras terendah dalam sejarah RM4.7465 berbanding satu dolar AS.

Petunjuk penting 2022

Pertumbuhan ekonomi negara sepanjang 2022 menunjukkan perkembangan positif selepas dua tahun menguncup susulan sekatan perjalanan dan kegiatan ekonomi terhad akibat pandemik Covid-19.

Namun cabaran besar menanti tahun depan susulan jangkaan kemelesetan di peringkat global serta faktor luar seperti kesan perang di Ukraine dan gangguan bekalan dari China.

Berikut angka penting yang menjadi indikator prestasi ekonomi pada 2022:

  • BNM umum negara catat pertumbuhan lima peratus (suku tahun pertama), 8.9 peratus (suku kedua) dan 14.2 peratus (suku ketiga)
  • Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) lapor inflasi bagi tempoh Januari hingga Oktober meningkat 3.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu
  • OPR naik empat kali sebanyak 25 mata asas antara 11 Mei hingga 3 November sehingga kepada 2.75 peratus daripada 2 peratus
  • Bilangan penganggur terus menurun dengan pengurangan seramai 30,200 orang kepada 611,800 orang pada suku ketiga tahun ini, menurut DOSM
  • Untuk tempoh sama, bilangan tenaga buruh meningkat 0.6 peratus (99,700 orang) kepada 16.34 juta
  • Jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM193.7 bilion dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama yang melibatkan 2,786 projek bagi tempoh Januari hingga September
  • Jumlah itu meningkat 2.5 peratus berbanding RM188.9 bilion bagi tempoh sama tahun lepas
  • Setakat Jun, jumlah hutang negara berjumlah RM1.045 trilion, kata Menteri Kewangan Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Aziz pada masa itu
  • Rizab antarabangsa berjumlah US$105.2 bilion (RM464.98 bilion) pada akhir Oktober. Memadai biayai 5.5 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek

Pengarang :