Guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading bergambar bersama selepas memenangi lima anugerah terbaik 2022 pada Majlis Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTUNe) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2022 di Dewan Aster, Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 19 Januari 2023. Foto. MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Usahawan cilik PROTUNe raih pendapatan RM2.54 juta tahun lalu

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 17 JAN: Usahawan muda Program Tunas Niaga (PROTUNe) di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merekodkan pendapatan keseluruhan berjumlah RM2.54 juta sepanjang tahun lalu.

Program yang bertujuan membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar khusus sekolah luar bandar itu dilaksanakan selama 10 bulan mulai Mac tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya (Korporat dan Keusahawanan) berkata angka itu memberi keuntungan besar kepada usahawan dari 50 sekolah terpilih sekitar Selangor yang mencatat rekod keuntungan RM745,067.

Suhaimi Kasdon berkata, angka itu menunjukkan peningkatan 93.5 peratus iaitu RM165,479 berbanding tahun lalu dan ia kejayaan besar buat PROTUNe sejak 24 tahun ditubuhkan.

Katanya, keuntungan turut mencatat kenaikan 90 peratus jika dibandingkan tahun lalu kira-kira RM56,094.

“Program ini disifatkan berjaya apabila menerima 28,075 penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah membabitkan 1,125 berdaftar berstatus sendirian berhad sejak 1998 sehingga kini.

“Pada tahun ini sahaja, penyertaan diterima seramal 1,250 peserta terdiri daripada pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima dengan bimbingan 100 guru dari 50 sekolah terpilih di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvensyen PROTUNe ke-24 di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS, di sini hari ini.

Suhaimi berkata konvensyen adalah bukti PKNS terus komited meneruskan kesinambungan legasi PROTUNe selama 24 tahun dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPS).

Katanya PKNS terpanggil melaksanakan inisiatif PROTUNe bagi merancakkan dunia keusahawanan dalam kalangan pelajar menerusi pendedahan serta galakan yang diberi dari peringkat awal.

“Kita percaya budaya keusahawanan merangkumi nilai dan aspek yang bantu membentuk keperibadian positif.

“Anak muda yang memiliki semangat keusahawanan tinggi sudah pasti rajin, berdaya saing dan berani mencuba, malah tidak gentar berhadapan dengan dugaan serta cabaran dalam kehidupan,” katanya.

Anugerah disampaikan oleh EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail.

Sebanyak 10 kategori anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Harapan, Perkhidmatan Terbaik, Produk Kreatif Terbaik, Produk Inovasi Terbaik, Laporan Kewangan Terbaik, Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Guru Pembimbing Terbaik, Persembahan Terbaik Sekolah Terbaik dan Syarikat Terbaik.

PROTUNe menyediakan platform kepada peserta untuk mengikuti bengkel dan seminar bimbingan berkaitan perjalanan syarikat, latihan keusahawanan serta perniagaan secara praktikal.

Antara latihan disediakan termasuk penjualan produk makanan dan minuman, seni kraftangan, pakaian serta perkhidmatan seperti fotografi, dobi dan katering.


Pengarang :