Proses pensterilan (retort) pada produk makanan sedia dimakan keluaran Ummu Habibah Idrus. Foto Facebook Ummu Habibah
PERSONALITIRENCANA

Usahawan wanita terokai teknik steril bantu panjangkan hayat makanan

PUNCAK ALAM, 7 JAN: Kaedah pensterilan (retort) makanan merupakan inovasi yang mampu membantu memanjangkan ketahanan sesuatu hidangan agar ia boleh dimakan pada bila-bila masa terutamanya waktu kecemasan seperti bencana.

Ummu Habibah Idrus, 35, yang merupakan antara usahawan menawarkan khidmat pensterilan makanan berkata teknik tersebut melibatkan proses memanaskan makanan pada suhu 121 darjah celcius dalam periuk khas bagi membasmi kuman.

“Selalunya makanan yang baru dimasak boleh bertahan hingga empat jam, namun jika ia melalui proses retort ia tahan hingga dua tahun.

“Ia sama seperti proses pengetinan, tapi bagi saya yang menggunakan kaedah ini dalam skala kecil, saya simpan makanan dalam beg aluminium atau balang kaca,” katanya kepada Bernama.

Ummu Habibah Idrus

Ummu Habibah, yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Farmasi (Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), mula menawarkan perkhidmatan pensterilan makanan setelah beliau mempelajari teknik tersebut pada 2020 bagi tujuan memanjangkan jangkat hayat produk sos pasta buatannya.

Menurutnya amalan pensterilan makanan adalah normal di negara yang mengalami musim sejuk terutamanya dalam kalangan petani yang mempunyai hasil tuaian banyak untuk memastikan ia tahan lama.

Beliau berkata teknik itu juga mampu memastikan makanan bertahan lebih lama pada suhu bilik tanpa menggunakan bahan pengawet.

Dalam pada itu, Ummu Habibah tidak menyangka perkhidmatan pensterilan makanan yang diusahakan dan dipromosikan menerusi aplikasi TikTok bermula Okt 2021, mendapat sambutan hangat daripada ibu bapa yang ingin membekalkan masakan dari rumah untuk anak mereka di asrama.

Katanya, perkhidmatan itu juga disambut baik oleh bakal jemaah umrah yang menghantar makanan mereka untuk disteril bagi dijadikan bekalan ketika menunaikan ibadah tersebut di tanah suci.

Menurutnya lagi unit beruniform seperti tentera dan keluarga yang ingin bercuti ke luar negara juga membeli produk makanan yang telah menjalani proses retort daripadanya.

“Teknik retort ini juga asalnya diwujudkan untuk memanjangkan hayat makanan bagi pasukan askar di luar negara. Walaupun pengetahuan tentang amalan retort kurang diketahui di Malaysia, ia dilihat semakin berkembang sejak tahun lepas,” katanya.

Kedai produk makanan yang diusahakan Ummu Habibah di Pusat Astana Niaga di Bandar Puncak Alam. Foto Facebook Ummu Habibah

Selain sos pasta yang merupakan produk asal keluaran beliau, Ummu Habibah kini turut mengeluarkan produk makanan sedia dimakan seperti kari ayam, kurma ayam, ayam lada hitam, ayam masak merah dan bubur nasi di Pusat Astana Niaga di Bandar Puncak Alam, di sini.

Harapan beliau supaya lebih ramai mengetahui tentang teknik pensterilan makanan ini di Malaysia kerana ia tidak sukar untuk dilakukan.

“Kita biasa nampak usahawan sahaja yang buat, sedangkan ibu-ibu juga boleh melakukannya. Masyarakat perlu melihat makanan yang dihasilkan melalui proses ini adalah bagus dan tidak sama seperti makanan yang diproses,” katanya.

Ummu Habibah turut berazam memasarkan produk keluarannya di pasar raya tempatan agar setanding dengan jenama terkenal, pada tahun ini.

-BERNAMA


Pengarang :