Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohd Fauzi Mohd Yatim bergambar selepas merasmikan kaunter bergerak berwajah baharu di aras 4, Menara MPAJ pada 31 Januari 2023. Foto MPAJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Wajah baharu kaunter bergerak MPAJ lebih luas, mesra pengguna

OLEH AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 31 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melancarkan kaunter bergerak yang diberi wajah baharu hari ini.

Yang Dipertuanya berkata kaunter bergerak itu merupakan kenderaan dilengkapi kemudahan sistem komputer terkini dan mempunyai ruang lebih luas serta tempat duduk untuk warga emas atau wanita hamil.

“Tujuan utama kaunter bergerak ini dilancarkan adalah bagi memudahkan pemilik-pemilik harta di Ampang Jaya membayar cukai taksiran dan bayaran-bayaran lain termasuk kompaun.

“Kenderaan ini mempunyai dua kaunter yang boleh menerima bayaran tunai, kad dan cek,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim selepas majlis perasmian di aras 4, Menara MPAJ, di sini.

Menurut beliau, kaunter bergerak ini akan di tempatkan di lokasi tumpuan ramai seperti Ampang Point, masjid, pasar pagi dan pasar malam.

“Jadual operasi kaunter bergerak boleh di rujuk di dalam laman web rasmi iaitu www.mpaj.gov.my.

“Sasaran kutipan kaunter bergerak tahun ini adalah RM2 juta,” jelasnya.

Tambah Mohd. Fauzi operasi pertama kaunter bergerak ini akan bermula di berhadapan kompleks beli belah Ampang Point pada 1 Februari ini.


Pengarang :