Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuat persiapan sebelum memulakan jualan barangan keperluan asas semasa sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Rawang di Dewan MPPK Kampung Melayu, Rawang pada 30 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Rawang cadang program jualan murah setiap minggu, fokus B40

Oleh AZIAN AZIZ

RAWANG, 30 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang mencadangkan program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) diteruskan selepas Mac ini pada setiap minggu dengan menyasarkan golongan kurang berkemampuan (B40).

Chua Wei Kiat berkata pada masa ini semua rakyat boleh datang membeli di jualan murah termasuk golongan berpendapatan tinggi (T20).

“Inisiatif Kerajaan Negeri mengadakan program ini memang untuk meringankan beban golongan B40 tetapi adakah semua yang datang itu betul-betul kurang mampu.

“Kita tak boleh periksa sama ada mereka yang datang itu B40, M40 (berpendapatan sederhana) atau T20 kerana buat masa ini data dimiliki terhad,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu Wei Kiat memohon bantuan Kerajaan Pusat agar berkongsi data golongan B40 dengan Kerajaan Negeri supaya yang benar-benar layak sahaja boleh membeli di program jualan murah jika dilanjutkan selepas ini.

Dalam pada itu, Wei Kiat memohon Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuka kaunter khas untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita mengandung di semua lokasi.

“Saya dengar memang ada setengah tempat disediakan kemudahan untuk mereka. Sekarang semua lokasi orang beratur panjang, kasihan kepada golongan ini terpaksa berdiri lama (lokasi tiada kemudahan),” ujarnya.

Program JER kendalian PKPS diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini dan antara produk ditawarkan ialah ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :