Gambar hiasan. Foto Facebook Fibroid Support Group
AGENDANASIONAL

Wanita digalak jalani pemeriksaan kesan fibroid, sista untuk hamil

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Golongan wanita digalakkan untuk menjalani pemeriksaan ginekologi secara berkala untuk mengesan ketumbuhan fibroid pada rahim dan sista (cyst) ovari yang selalunya berlaku tanpa gejala dan sering tidak disedari ramai.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Perubatan Kesuburan Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Farah Leong Rahman berkata fibroid dan cyst bukan penyakit yang boleh diwarisi – bermakna ia tidak diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain, namun ia masih boleh berlaku dalam sesebuah keluarga.

“Amat penting untuk menjalani pemeriksaan secara berkala dengan doktor anda dan melakukan ujian imbasan ultrasound bagi memantau saiz fibroid atau cyst serta memeriksa simptom yang dialami. Tidak semua fibroid atau cyst memerlukan pembedahan. Bagaimanapun, jika anda mempunyai simptom atau merancang untuk hamil, doktor anda boleh mengesyorkan rawatan sewajarnya.

“Masih tiada bukti yang boleh membantu mencegah pertumbuhan fibroid atau cyst, tetapi amalan gaya hidup sihat dan mengekalkan diet seimbang adalah cara yang baik untuk kesihatan anda secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Dr Farah berkata kebanyakan wanita yang mempunyai fibroid dan cyst tidak mempunyai masalah untuk hamil, namun bergantung juga kepada saiz dan kedudukan fibroid tersebut, yang mungkin memberi kesan kepada tahap kesuburan seseorang.

“Fibroid dan cyst biasanya tidak menjadi penghalang jika seseorang itu ingin hamil. Bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan ia boleh menyebabkan tiub fallopio tersumbat atau menyebabkan persekitarannya tidak kondusif untuk implantasi embrio,” katanya.

Menurutnya, ia terutamanya apabila kedudukan fibroid terletak pada dinding rahim dan rawatannya pula bergantung kepada simptom yang dialami pesakit, manakala pembedahan hanya akan dilakukan jika ia dapat meningkatkan peluang kehamilan.

Sementara itu, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan SMCV Dr Wong Yen Shi berkata fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser yang bermula daripada otot rahim dan sering terjadi kepada wanita semasa mereka berada pada fasa reproduktif.

“Cyst ovari pula adalah kantung yang kebanyakannya mengandungi cecair, kadangkala tisu atau darah yang tumbuh di dalam ovari atau di permukaannya. Tidak seperti fibroid yang merupakan ketumbahan bukan kanser, cyst berkemungkinan untuk menjadi benigna (tumor bukan kanser) atau malignan (tumor jenis kanser).

“Doktor akan menjalankan pemeriksaan imbasan ultrsound dan ujian penanda tumor CA125 untuk membezakan kedua-dua jenis ketumbuhan ini. Ketumbuhan ovari lebih banyak berlaku kepada wanita yang berusia 60 ke 65 tahun,” katanya sambil memberi jaminan bahawa kebanyakan cyst adalah jenis bukan kanser.

Dr Wong berkata kebanyakan cyst akan hilang dengan sendiri dalam beberapa bulan, manakala cyst yang tidak berbahaya seperti follicular cyst atau corpus luteal akan membesar dan hilang bersama kitaran haid wanita.

Menurutnya cyst dan fibroid juga boleh berlaku serentak – memandangkan keadaan pesakit adalah berbeza-beza, cara merawat serta memantau penyakit berkenaan juga bergantung kepada saiz dan simptom yang dialami pesakit.

“Seperti fibroid, cyst berlaku secara semula jadi. Keadaan seperti kehamilan, jangkitan pada pelvis, endometriosis dan sejarah kesihatan mengalami penyakit yang sama juga boleh meningkatkan kemungkinan untuk mendapat cyst ovari. Fibroid dan cyst juga mungkin menunjukkan simptom yang sama.

“Sebagai contoh, haid yang tidak teratur atau menyakitkan, kerap membuang air kecil atau sembelit, kembung perut, sakit belakang, pertambahan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau persetubuhan yang menyakitkan,” kata Dr Wong.

Dalam pada itu, Dr Farah berkata cyst bersaiz kecil selalunya tidak memerlukan rawatan dan pertumbuhannya akan dipantau, manakala cyst yang lebih besar akan memerlukan pembedahan secara laparoskopi atau secara terbuka (open surgery).

“Pembedahan kekal sebagai penyelesaian utama bagi rawatan fibroid, namun apabila ia melibatkan masalah kesuburan, miomektomi (pembuangan fibroid) boleh dilakukan melalui pembedahan terbuka, laparoskopi atau melalui miomektomi histeroskopik bergantung kepada saiz dan lokasi fibroid.

“Bagi wanita yang tidak lagi berhajat untuk hamil atau dalam fasa selepas menopaus, histerektomi (pembuangan rahim) akan dipertimbangkan, manakala bagi pesakit yang tidak memerlukan pembedahan mereka akan diberikan rawatan perubatan untuk melegakan simptom seperti pendarahan haid yang banyak serta menyakitkan,” kata Dr Wong.

Dr Farah turut menambah kebimbangan terbesar apabila mempunyai fibroid ketika hamil adalah risiko kelahiran awal.

“Dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan kesakitan yang teruk dengan fibroid melebihi bekalan darah pesakit. Jika fibroid bersaiz besar, ia boleh menyebabkan bayi berada pada posisi yang salah iaitu kepala tidak berada di bawah walaupun sudah cukup bulan,” katanya.

Bagi cyst ketika kehamilan pula, ia biasanya tidak memudaratkan kecuali jika cyst itu cukup besar dan menyebabkan koyakan, justeru Dr Farah menasihatkan pesakit mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum memulakan perancangan kehamilan bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik.

-BERNAMA


Pengarang :