Seramai 164 warga asing dan tempatan dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tiga pusat peranginan berasingan pada 12 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDA JENAYAH

Warga asing antara 164 individu ditahan disyaki terlibat penipuan dalam talian

LANGKAWI, 12 JAN: Jabatan Imigresen menahan 164 individu termasuk 30 warga asing yang dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian menerusi serbuan di tiga pusat peranginan di sini hari ini.

Kesemua mereka berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun dengan warga asing itu terdiri daripada 27 warga China, dua Thailand dan seorang Myanmar.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata operasi dilakukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Putrajaya secara serentak kira-kira 12 tengah hari selepas bertindak hasil maklumat pemimpin tempatan dan masyarakat setempat.

“Hasil risikan selama enam bulan, Jabatan Imigresen berjaya mengesan kegiatan sindiket berkenaan yang beroperasi di pusat-pusat peranginan yang masih belum dibuka kepada orang ramai selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

“Sindiket yang dipercayai menjalankan kegiatan itu kira-kira setahun lepas, menjadikan pusat peranginan sebagai pusat operasi dan tempat untuk melatih anggota baharu sebagai operator bagi kegiatan sindiket berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata sindiket yang dipercayai didalangi warga China itu turut merekrut warga tempatan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

“Bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, mereka akan berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain selain menetap di satu-satu tempat untuk tempoh antara tiga minggu hingga sebulan.

“Kos operasi sindiket itu dianggarkan sebanyak RM800,000 sebulan yang melibatkan gaji bulanan, penginapan, sewa dewan dan pelbagai kemudahan lain. Hasil siasatan juga mendapati warga Malaysia yang terlibat dibayar RM3,000 sebulan dan komisen sebanyak RM15 bagi setiap orang yang berjaya direkrut,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya turut merampas 756 telefon bimbit, 150 komputer dan komputer riba serta pelbagai peralatan elektronik lain yang disyaki digunakan untuk kegiatan berkenaan.

“Sebanyak 17 pasport warganegara China dirampas dan semakan mendapati mereka menggunakan pasport baharu yang tidak mempunyai rekod perjalanan selain menggunakan pas rawatan perubatan manakala selebihnya tidak mempunyai dokumen yang sah.

Beliau berkata semua warga China itu disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 manakala warga Malaysia yang terlibat akan diberikan Borang 29 dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya pihaknya juga akan menjalankan siasatan terhadap ketiga-tiga pemilik pusat peranginan yang terlibat dalam kes itu. – BERNAMA


Pengarang :