Bekas akauntan, Farah Zulaika menghasilkan tart keju dan baulu gulung dihiasi pelbagai lukisan menarik. Foto Facebook Wow Cakery
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Warna, lakaran baulu gulung dan tart keju pukau pelanggan di media sosial

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Apabila disebut sahaja swiss roll atau baulu gulung; kebanyakan kita mengenalinya sebagai kek gulung; pastinya yang terbayang di mata adalah kek seakan roti buku dengan lapisan krim atau jem nanas atau strawberi di dalam gulungan.

Namun itu kisah dulu. Kini, penggemar pemanis mulut tersebut bukan sahaja boleh memenuhi tunas rasa dengan gabungan beberapa perisa seperti krim segar, beri biru dan strawberi tetapi juga mencuci mata menerusi warna dan lukisan menarik seperti yang diketengahkan oleh Farah Zulaika Nordin, 32.

Menggunakan jenama wowcakery, bekas akauntan itu ibarat menyelam sambil minum air kerana perniagaan tersebut bukan sahaja memberi pendapatan yang agak berbaloi dengan keuntungan bersih sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, tetapi juga memenuhi minat melukisnya.

Selain baulu gulung, usahawan yang mahu dirinya disapa sebagai Farah, turut menghasilkan tart keju dihiasi pelbagai lukisan menarik di sebalik saiz kuih yang agak kecil.

Minat melukis 

“Asalnya painted baulu gulung ini terkenal di Korea dan Jepun,” ujarnya, membuka cerita kepada Bernama baru-baru ini.

Sebahagian tempahan dibuat oleh Farah Zulaika. Foto Facebook Wow Cakery

Menurutnya, secara kebetulan beliau bertemu dengan seorang pembuat kek yang membuka kelas di ibu negara pada 2015, dan setiap kali ada peluang beliau akan menyertai kelas itu.

“Dari situ saya belajar membuat kek gulung dan tart keju berlukis. Pada masa sama saya cuba-cuba ambil tempahan daripada ahli keluarga, saudara mara dan rakan,” katanya, menambah sambutan yang diterima agak menggalakkan.

“Saya memilih baulu gulung dan tart keju kerana dua jenis kuih ini adalah malar hijau, sentiasa ada permintaan, bukan jenis bermusim,” tambah ibu kepada seorang anak perempuan berusia dua tahun itu.

Menurutnya, membuat baulu gulung dan tart keju itu menjadi kerja sampingannya semasa bekerja di sebuah syarikat swasta.

“Selepas mendapat respons positif daripada keluarga dan saudara mara. Saya meluaskan perniagaan termasuk memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook dan Instagram. Dari situ kek gulung dan tart keju saya mula dikenali dan saya menjadi tidak menang tangan.

“Pada 2018, saya memutuskan untuk menjadikan perniagaan itu sebagai ‘kerja tetap’ dan melepaskan jawatan saya sebagai akauntan yang saya ceburi sejak 2014,” ujar lulusan perakaunan dan kewangan daripada Universiti Teknologi MARA tersebut.

Kongsinya, beliau bersyukur kerana keputusan itu mendapat sokongan suami dan juga keluarga walaupun tiada seorangpun dalam kalangan ahli keluarganya terbabit dalam bidang berkenaan.

Air tangan sendiri sepenuhnya 

Bercerita lanjut, Farah berkata buat masa ini beliau menjalankan perniagaan itu di rumahnya di Taman Batu Muda, Gombak, Selangor.

“Segalanya saya lakukan sendiri, dari proses membuat adunan hinggalah kepada penghantaran, semuanya saya lakukan sendiri kerana saya tidak mengupah pekerja,” katanya lagi, menambah adakala suaminya turut membantu.

Sebahagian tempahan dibuat oleh Farah Zulaika. Foto Facebook Wow Cakery

Menurutnya, sekalipun terasa agak jerih, beliau berpegang pada pesanan arwah bapanya agar beliau bersungguh-sungguh dalam berniaga.

“Arwah bapa, walaupun bukan peniaga, adalah antara penyokong kuat saya ketika saya mula-mula menceburkan diri dalam bidang ini,” kata Farah yang memulakan perniagaan itu dengan modal hanya RM500.

Mengenai keistimewaan air tangannya itu, beliau berkata selain berwarna-warni, pelanggan boleh memintanya melukis hampir apa sahaja yang diingini termasuk potret dalam bentuk kartun, bunga dan corak batik.

“Gambar yang dilukis itu selamat dimakan kerana dilukis menggunakan tepung kek itu sendiri, manakala tart keju pula diminati pelanggan kerana ‘kegebuannya’ selain inti yang penuh dan bersaiz sesuap, jadi mudah untuk dimakan. Di atasnya saya lukis emoji pelbagai ekspresi,” ujarnya.

Menurut Farah, beliau mengambil masa hingga dua jam, bergantung pada imej yang diminta pelanggan, untuk menyiapkan lukisan di atas baulu gulung sementara untuk tart pula boleh berlanjutan hingga empat jam bagi satu kotak besar kerana saiz kuih itu agak kecil.

“Melukis di atas tart ini sangat sukar kerana saiznya yang kecil. Saya juga perlu berhati-hati ketika melukis agar lukisan tidak rosak,” sambungnya.

Sasaran

Mengulas lanjut, beliau berkata baulu gulungnya dihasilkan dalam tiga saiz iaitu bentuk biasa sepanjang sembilan inci, saiz mini 3.5 inci dan baby roll iaitu dalam bentuk kepingan selebar satu inci masing-masing.

“Bagi tart keju, selain 25 biji (kotak besar) kita juga ada buat 10 biji untuk sekotak,” katanya, menambah harga untuk baulu gulung dan tart kejunya adalah dalam lingkungan RM30 hingga RM90.

Katanya lagi dalam sehari beliau boleh menyiapkan satu baulu gulung bersaiz biasa, 20 kotak besar tart keju bercorak batik dan dua kotak besar tart keju lain-lain corak.

Ujarnya buat masa ini tempahan diterima dari sekitar Lembah Klang.

“Pada masa akan datang saya merancang untuk membuka kelas baking buat mereka yang berminat belajar membuat baulu gulung dan tart keju.

“Saya juga berhasrat mempunyai baking studio sendiri,” tambahnya.

– BERNAMA


Pengarang :