Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus menghadiri sidang akhbar selepas persidangan antarabangsa mengenai penyelidikan vaksin Covid-19 di Geneva pada 12 Februari 2020. Foto AFP
AGENDA GLOBAL

WHO: Lima bilion penduduk dunia terdedah bahaya lemak trans

GENEVA, 24 JAN: Lebih lima bilion daripada lapan bilion penduduk dunia terdedah kepada lemak trans yang terdapat dalam produk makanan, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin.

Menurut badan dunia yang berpangkalan di Geneva itu pihaknya menyasarkan bahan-bahan yang tidak sihat dalam makanan akan dapat dihapuskan menjelang tahun ini. Mesir, Pakistan dan Korea Selatan adalah antara negara yang paling teruk terjejas akibat keadaan kesihatan yang dikaitkan dengan lemak trans, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

“Kandungan lemak trans tidak memberikan manfaat dan amat berisiko terhadap kesihatan yang akan menyebabkan sistem kesihatan terpaksa menanggung kos yang besar.

“Sebaliknya, menghapuskan lemak trans lebih efektif dan menjimatkan selain mempunyai manfaat yang besar untuk kesihatan. Lemak trans ialah bahan kimia toksik yang membunuh dan tidak sepatutnya terdapat dalam produk makanan. Sudah tiba masanya untuk menyingkirkannya,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Menurut angka WHO, lemak trans membawa kepada setengah juta kematian akibat penyakit jantung setiap tahun. Denmark yang telah mengambil langkah menghapuskan lemak trans dalam produk makanan sejak 20 tahun lalu telah menyaksikan penurunan penyakit kardiovaskular.

Lemak trans ialah asid lemak tak tepu yang boleh terhasil dalam makanan semula jadi atau diproses. Ia dihasilkan dalam sektor makanan yang diproses melalui hidrolisis minyak untuk menghasilkan lemak pepejal seperti marjerin.

Rawatan haba minyak sayuran juga boleh menyebabkan lemak trans terhasil.

– BERNAMA


Pengarang :