Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (duduk, kanan) melihat silibus pembelajaran bersama murid tahun tiga, Farah Ain Natalia Mohd Fauzi (tiga,kanan) ketika melawat Sekolah Kebangsaan Chepor, Ipoh pada 17 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Wujud pelanggaran SOP kewangan pengeluaran wang bantuan awal persekolahan

IPOH, 17 JAN: Terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu pengeluaran wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang dilarikan individu dalam satu kejadian di Beranang, Selangor semalam.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata itu antara maklumat awal yang diterima pihaknya dan kes itu kini dalam siasatan polis serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurut tatacara pengeluaran wang tunai yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pengeluaran wang tunai hingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi dua guru atau mendapatkan perkhidmatan pengiring daripada polis.

“Kita ambil serius kerana kehilangan ini melibatkan jumlah yang cukup besar dan SOP kewangan telah dilanggar, kita ada SOP yang ketat bahawa (pengeluaran wang) lebih RM10,000 mesti ada pengiring, ini kan pula satu jumlah besar.

“Kita sedang menunggu laporan polis dan JPN Selangor, kemudian kita umumkan tindakan yang akan diambil,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Chepor di sini hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi semalam, seorang guru besar berputih mata selepas wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang hilang selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya di Semenyih.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan sebegitu.

Mengulas lanjut Fadhlina berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan.

Beliau berkata kementerian akan mengembalikan semula wang itu kepada sekolah berkenaan memandangkan ia hak yang perlu dipulangkan kepada murid sekolah melalui proses yang sepatutnya.

“Tindakan kepada guru besar pula kita serahkan kepada JPN dan pihak polis. Ini untuk memberi jaminan bahawa kes ini sedang disiasat dengan teliti,” katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat Sekolah Kebangsaan Seri Tanjung, Tanjung Rambutan sebelum ke Sekolah Kebangsaan Chepor dan mengumumkan peruntukan untuk sekolah masing-masing sebanyak RM400,000 serta RM150,000 bagi tujuan penambahbaikan termasuk penyelenggaran sekolah.

– BERNAMA


Pengarang :